Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • KDNK suku kedua Malaysia dianggarkan berkembang 4.5 peratus
  • SEMASA

KDNK suku kedua Malaysia dianggarkan berkembang 4.5 peratus

Utusan Sarawak 19 hours ago

KUALA LUMPUR:  Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 4.5 peratus pada suku kedua 2025 berdasarkan anggaran awal, mengatasi peningkatan sebanyak 4.4 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Pertumbuhan itu dijangka didorong oleh permintaan domestik yang kukuh dalam mendepani cabaran global, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam kenyataan hari ini, DOSM berkata momentum pertumbuhan kekal pada April dan Mei, dengan prestasi lebih kukuh dijangkakan pada Jun.

“Secara keseluruhannya, ekonomi dianggarkan berkembang sederhana sebanyak 4.4 peratus pada separuh pertama 2025,” katanya.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata penggunaan domestik kekal sebagai pemacu utama, disokong oleh kesan pelarasan gaji sektor awam, cuti sekolah dan perbelanjaan bermusim semasa Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Pasaran buruh yang stabil dengan kadar pengangguran dan inflasi yang rendah turut mengukuhkan perbelanjaan isi rumah.

“Selain itu, pelaksanaan berterusan program bantuan tunai seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) turut menyumbang kepada pengekalan perbelanjaan isi rumah sepanjang suku tahun ini,” katanya.

Mohd Uzir berkata sektor pembuatan menunjukkan prestasi yang pelbagai dengan pertumbuhan 5.6 peratus pada April sebelum menyederhana 2.8 peratus pada Mei.

“Pertumbuhan ini disumbangkan oleh aktiviti berterusan dalam subsektor elektrik dan elektronik (E&E) serta permintaan kukuh daripada industri berorientasikan domestik, seperti yang ditunjukkan oleh Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP). 

“Begitu juga, jualan perdagangan edaran yang mencerminkan aktiviti pengguna dan perniagaan meningkat 4.4 peratus pada Mei, mereda daripada 4.7 peratus pada April, terutamanya didorong oleh prestasi yang stabil dalam perdagangan borong dan runcit,” katanya.

Bagaimanapun, sektor luaran menunjukkan prestasi yang bercampur dengan aktiviti perdagangan berkembang lebih perlahan pada Mei disebabkan permintaan yang lemah bagi eksport barangan. 

“Secara keseluruhan, walaupun perbelanjaan domestik kekal menjadi tunjang utama ekonomi, sektor luaran berdepan cabaran, dipengaruhi oleh perkembangan berkaitan tarif serta ketidaktentuan politik global yang berterusan,” kata Mohd Uzir.

Mengikut sektor, katanya perkhidmatan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi pada suku kedua 2025, mencatatkan peningkatan 5.3 peratus (suku pertama 2025: 5.0 peratus), disumbang terutamanya oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan serta perkhidmatan perniagaan.

Beliau berkata sektor pembuatan pula mencatatkan pertumbuhan 3.8 peratus (suku pertama 2025: 4.1 peratus), disokong oleh pengeluaran produk elektrik, elektronik dan optikal serta minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan serta prosesan makanan. 

Mohd Uzir berkata sektor pembinaan merekodkan pertumbuhan dua digit bagi enam suku tahun berturut-turut dengan pertumbuhan 11.0 peratus (suku pertama 2025: 14.2 peratus), disokong terutamanya oleh bangunan bukan kediaman dan aktiviti pembinaan pertukangan khas.

“Sektor pertanian mencatatkan peningkatan 2.0 peratus (suku pertama 2025: 0.6 peratus), didorong oleh subsektor kelapa sawit.

“Sementara itu, sektor perlombongan dan pengkuarian terus menyusut kepada negatif 7.4 peratus (suku pertama 2025: -2.7 peratus), dipengaruhi oleh pengeluaran yang lebih rendah dalam kesemua subsektornya,” katanya.– Bernama

Continue Reading

Previous: NATSUM 2025: Platform bina legasi pemimpin muda kejuruteraan
Next: NAHAS UPSI: Laporan awal akan dimuat naik dalam laman sesawang MOT

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.