KUCHING, 8 Oktober: Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PK), Kementerian Dalam Negeri (KDN) Sarawak terus mempertingkat penguatkuasaan terhadap bahan penerbitan dan teks al-Quran yang melanggar undang-undang.
Pengarah Bahagian PK KDN Sarawak, Rafiqin Rais berkata, penguatkuasaan itu turut disokong dengan usaha memberi penerangan kepada masyarakat mengenai bahan penerbitan dan teks al-Quran yang mematuhi peruntukan undang-undang.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan di Kuching, hari ini.
Tambahnya, Bahagian PK KDN Sarawak yang ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 2018 bertanggungjawab memastikan bahan penerbitan yang diedarkan tidak melanggar undang-undang.
“Antara bahan yang diberi perhatian termasuk penerbitan atau barangan yang mempunyai kandungan dan simbol yang menyalahi undang-undang, manakala tindakan penguatkuasaan dibuat berdasarkan hasil penelitian serta peruntukan akta berkaitan,” katanya.
“Pihak kami meneliti pelbagai bahan termasuk buku, majalah, kartun serta teks berkaitan al-Quran,” jelasnya.
Mengulas lanjut, operasi penguatkuasaan dan rampasan turut dijalankan terhadap bahan yang didapati menyalahi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta Akta Pencetakan Teks al-Quran.
“Bahan yang dirampas disimpan sebagai eksibit sehingga sesuatu kes selesai dan mendapat arahan pelucuthakan daripada mahkamah sebelum dilupuskan mengikut prosedur ditetapkan.
“Proses pemuliaan turut dilaksanakan bagi naskhah al-Quran yang tidak lagi sesuai digunakan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Rafiqin berkata Bahagian PK KDN Sarawak turut mempergiat usaha advokasi menerusi program Jom Exchange al-Quran (JEQ).
“Inisiatif ini membolehkan orang awam menukar naskhah al-Quran yang rosak, lama atau tidak mendapat perakuan sah dengan naskhah yang baharu secara percuma,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga aktif menyertai program anjuran agensi kerajaan termasuk pameran dan program kesedaran bagi menerangkan kepada masyarakat mengenai perbezaan teks al-Quran yang mendapat kelulusan KDN dengan bahan yang tidak mematuhi undang-undang.
Sementara itu, katanya, peluasan operasi Bahagian PK KDN Sarawak termasuk pembukaan pejabat cawangan di Miri masih dalam proses.
Untuk rekod, Bahagian PK KDN Sarawak ditubuhkan hasil penggabungan Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran dengan sebahagian Bahagian Kawalan Keselamatan pada 1 Mac 2018.





