KUCHING: Kementerian Dalam Negeri (KDN) meluluskan permohonan Sarawak untuk mewujudkan semula Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan bagi menyelesaikan isu kanak-kanak tanpa dokumen pengenalan diri di negeri ini.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPKK) Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, pihaknya telah menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri supaya jawatankuasa khas ini diwujudkan semula sebagai saluran menyelesaikan isu serta masalah berkaitan permohonan kewarganegaraan yang belum dapat diselesaikan dari Sarawak.
“Minggu ini, saya telah menerima maklumat bahawa Menteri Dalam Negeri (MDN) telah meluluskan Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan ini untuk ditubuhkan semula dan dari segi keahliannya ada sedikit pertukaran yang mana kali ini akan pengerusi bersama.
“Bagi saya ini akan menjadi bagus kerana ia akan dipengerusikan bersama oleh saya dengan Timbalan Menteri Dalam Negeri dan dengan jawatankuasa yang lain.
“Ini bermakna kita dapat mempercepatkan lagi prosesnya untuk melihat setiap kes, kemudian memberi keputusan dan ini sangat penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Pelaksanaan Kajian Sosial di antara Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak dan UNIMAS Holdings Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Kuching, semalam.
Fatimah berkata, mesyuarat pertama bagi Jawatankuasa Khas itu akan diadakan pada 22 April ini.
“Sebab fail-fail sebelum ini semuanya di Kuala Lumpur, kami akan mencuba membuat ‘Catch up’ plan kepada permohonan-permohonan yang sebelum ini dihantar ke Kementerian Dalam Negeri,” ujarnya.
Selain itu, Fatimah turut berkata bahawa, melalui Memorandum Perjanjian Pelaksanaan Kajian Sosial di antara KWKPKK dan UNIMAS Holdings Sdn Bhd ia akan dapat membantu kementerian di dalam mewujudkan kesejahteraan sosial terutama sekali dalam masyarakat.
Menurutnya, kerjasama strategik bersama UNIMAS itu melibatkan kajian berkaitan dengan isu penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar dan masalah dokumen pengenalan diri, khususnya dalam kalangan kanak-kanak yang mempunyai masalah kewarganegaraan.
“Kajian seperti ini sangat penting bagi kita kerana melalui kajian ini kita mendapat kajian berdasarkan bukti untuk membuat dasar serta program intervensi bagi menangani masalah itu.
“Jika tidak ditangani dan diintervensi ia menjadi satu kegusaran bukan sahaja dalam kalangan keluarga itu sendiri malah menjadi isu sosial yang boleh menggugat kesejahteraan dalam masyarakat tersebut dan dalam negeri Sarawak kita ini,” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO