
KUCHING: Setelah menempuh pendakian cerun curam dan laluan batu kapur tajam, pengamal media dari Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) berjaya menawan puncak Gunung Api, Taman Negara Mulu pada Selasa dalam program pendakian sempena sambutan Hari Sarawak.
Ekspedisi sulung yang berlangsung selama empat hari tiga malam bermula 29 Jun itu merupakan edisi kelima program pendakian tahunan KDJA yang sebelum ini dianjurkan di Gunung Kinabalu, Sabah.
Menurut KDJA ekspedisi itu menyatukan pengamal media daripada pelbagai agensi dan bertujuan menguji ketahanan fizikal serta mental di samping mengangkat keindahan semula jadi Tapak Warisan Dunia UNESCO yang terdapat di negeri ini.
“Pada 1 Julai, iaitu hari ketiga dan kemuncak ekspedisi, peserta memulakan pendakian seawal 6.00 pagi untuk menawan puncak Mulu, sejauh 2.4 kilometer (km) yang terkenal sebagai antara laluan pendakian paling sukar di Asia Tenggara.
“Hasilnya, lapan daripada 10 peserta berjaya menawan puncak Mulu pada 10.00 pagi dan kembali ke Kem 5 sebelum senja,” menurut kenyataan KDJA.
Peserta ekspedisi itu mewakili agensi seperti The Borneo Post, Utusan Borneo, Sin Chew Daily, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Dayak Daily, Suara Sarawak, Cats FM, See Hua dan TVS.
Pada hari pertama, peserta melawat Gua Rusa dan Gua Lang yang menampilkan formasi batu kapur berusia jutaan tahun serta menyaksikan fenomena eksodus kelawar menjelang senja.
Hari kedua menyaksikan peserta mengunjungi Gua Angin dan Gua Air Jernih sebelum menaiki bot selama sejam meredah sungai ke Long Litut.
“Dari situ, mereka meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki sejauh sembilan km melalui trek hutan mendatar ke Kem 5 untuk bermalam sebagai persediaan bagi pendakian sebenar ke puncak Mulu pada Selasa,” menurut kenyataan itu.
Peserta dari TVS Jeeridyne-Eve Chan Sue En berkata meskipun kali pertama menyertai ekspedisi sedemikian, semangat pasukan yang ditonjolkan dan keindahan semula jadi Taman Negara Mulu menjadikan segala penat lelah berbaloi.
“Saya sangat bangga dengan diri saya dan pasukan. Setiap orang patut datang ke sini sekurang-kurangnya sekali seumur hidup,” katanya.
Mewakili Cats FM Karuna Sho Hei Pohim menyifatkan pendakian sebagai pengalaman peribadi yang sudah lama diimpikan.
“Cabaran paling besar ialah semasa turun, kerana ketika itu tenaga sudah banyak digunakan sejak hari pertama ekspedisi tetapi saya tetap kuatkan semangat dan syukur berjaya lakukannya,” katanya.
Sementara itu, Nick Fletcher Neha dari akhbar Suara Sarawak yang hampir menarik diri seminggu sebelum pendakian, berjaya membuktikan kemampuannya apabila menjadi antara peserta terawal tiba di puncak.
“Memandangkan sudah lewat untuk tarik diri, saya cabar diri sendiri untuk buktikan saya mampu. Saya memang bergerak laju kerana bimbang kehabisan tenaga semasa turun nanti,” katanya.
Pada hari terakhir, peserta mengulangi laluan hutan sejauh sembilan km ke Long Litut dan menaiki bot ke pangkalan taman negara sebelum menaiki penerbangan kembali ke Kuching.
Program berkenaan turut disokong oleh kerajaan Sarawak, selaras dengan usaha Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk memperkasakan promosi kawasan pelancongan negeri bagi sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai.– Bernama