
KUCHING: Program Pagi Tanpa Kenderaan Kuching (KCFM) Petra Jaya edisi Hari Raya berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti komuniti yang menggalakkan gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga kota.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, penganjuran program seumpama itu bukan sahaja menyediakan ruang riadah, malah memperkukuh interaksi sosial dalam komuniti.
“Program ini memberi peluang kepada masyarakat menikmati suasana bandar tanpa kenderaan dalam persekitaran yang selamat dan sihat.

“Ia juga menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim, lebih-lebih lagi dalam suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Pendekatan ini selari dengan usaha menjadikan Kuching sebagai bandar raya rendah karbon melalui pengurangan penggunaan kenderaan di kawasan tertentu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas lanjut, program itu menggalakkan amalan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat tanpa mengira peringkat usia.
“Program seperti ini akan terus diperkasakan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh lebih ramai warga kota.
“Pengisian program yang pelbagai turut menjadikan KCFM sebagai platform mendekatkan agensi kerajaan dengan masyarakat setempat.
“Melalui inisiatif seperti ‘DBKU On The Move’, masyarakat dapat mengakses perkhidmatan yang disediakan secara lebih dekat dan mudah. Ia sekali gus meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta kesedaran awam terhadap peranan DBKU,” jelasnya.
Edisi kali ini turut diserikan dengan Perarakan Hari Raya yang menyaksikan penyertaan komuniti dalam busana tradisional berwarna-warni, selain aktiviti seperti senamrobik, berbasikal dan berjalan santai.
Untuk rekod, KCFM Petra Jaya diadakan pada minggu kedua setiap bulan di Medan Raya Masja sebagai sebahagian inisiatif memperkukuh kesejahteraan bandar dan hubungan komuniti.
Oleh Masrin Affirah