Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • KBS sasar 7,500 belia sertai Rakan Bumi 2026
  • NASIONAL

KBS sasar 7,500 belia sertai Rakan Bumi 2026

Utusan Sarawak 14 hours ago
MENTERI Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari (tengah) bersama para peserta pada Peluncuran Program Rakan Bumi: Projek Planet Rakan Muda Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Taman Laut Pulau Redang hari ini.

KUALA NERUS: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan penyertaan 7,500 belia dari seluruh negara dalam Program Rakan Bumi 2026, sekali gus melahirkan lebih ramai ejen perubahan bagi membudayakan gaya hidup lestari.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata program itu pengisian utama Kalendar Mega Rakan Muda 2026 yang bertujuan menggerakkan potensi belia melalui aktiviti kesukarelawanan berimpak tinggi ke arah pemeliharaan serta pemuliharaan alam sekitar dan kelestarian negara.

“Alhamdulillah, pelancaran hari ini dilaksanakan dengan pembahagian kepada beberapa pasukan, ada yang mengutip sampah, menanam pokok, membersihkan laut dan pelbagai aktiviti lain. Ini antara usaha serta inisiatif KBS melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara.

“Pelancaran peringkat nasional berlangsung di Terengganu dan akan diteruskan di negeri lain. Tujuan utama ialah memastikan anak muda mengambil tanggungjawab serta menyumbang kepada masa depan negara di samping memupuk kecintaan terhadap alam sekitar,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Program Rakan Bumi: Projek Planet Rakan Muda Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Taman Laut Pulau Redang di sini hari ini. 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), rakan strategik serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) yang menyumbang pokok untuk ditanam di sekitar Taman Laut Pulau Redang.

PARA peserta menanam pokok kelapa pada Majlis Peluncuran Program Rakan Bumi: Projek Planet Rakan Muda Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Taman Laut Pulau Redang hari ini.

Selain itu, Dr Mohammed Taufiq berkata cuaca panas tidak menghalang pelaksanaan program itu dengan langkah berjaga-jaga diambil dari aspek kesihatan, keselamatan dan persekitaran termasuk dengan kehadiran pasukan perubatan serta pemantauan berterusan terhadap peserta.

“Saya gembira melihat penglibatan anak muda yang hadir dengan kesedaran sendiri. Saya memberikan amanah kepada mereka agar tidak pulang begitu sahaja, sebaliknya mengajak lebih ramai anak muda untuk turut serta dalam usaha ini,” katanya.

Sementara itu, KBS dalam kenyataan memaklumkan Program Rakan Bumi 2026 terbuka kepada semua lapisan belia yang berminat untuk menyumbang kepada usaha pemeliharaan alam sekitar dan memainkan peranan aktif sebagai ejen perubahan dalam masyarakat.

KBS memaklumkan orang ramai, khususnya golongan belia disarankan melayari laman sesawang rasmi atau mengikuti media sosial Jabatan Belia dan Sukan negeri bagi mendapatkan maklumat lanjut pelaksanaan program itu pada peringkat negeri.

KBS berharap Program Rakan Bumi: Projek Planet Rakan Muda dapat menjadi model program kelestarian belia pada peringkat nasional yang berimpak tinggi dan berterusan, sekali gus melahirkan generasi belia yang progresif, bertanggungjawab dan cakna terhadap kelestarian alam sekitar. – Bernama

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: KPDN perkenal aplikasi INFO JUALAN RAHMAH MADANI – Fauziah
Next: Petronas terima penghantaran satu juta tong minyak mentah dari Iraq melalui kapal Ocean Thunder

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.