PETRA JAYA : Kementerian Belia dan Sukan akan berusaha untuk memastikan tiada acara akan dikecualikan pada penganjuran Para Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata perkara ini sudah dibincangkan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Katanya, ini adalah bagi melangkah ke arah legasi baharu iaitu klasifikasi sifar.
“Saya telah berbincang dengan Dato Sri Fatimah sebentar tadi, harapan kita adalah supaya dalam edisi-edisi Para SUKMA akan datang, tidak akan ada sebarang acara akan dikecualikan supaya kita boleh meraikan kesemua atelt para kita dan memberi mereka platform untuk bertanding, “katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Temasya Para SUKMA edisi ke 21,di Stadium Perpaduan Petra Jaya, di sini, malam ini.
Dalam pada itu, Hannah turut menyatakan bahawa ‘sepatutnya’ negara ini mempunyai seramai lima juta orang kurang upaya, berdasarkan data negara-negara lain.
Katanya, berdasarkan data-data negara lain, sejumlah 16 peratus OKU dikenal pasti di sesebuah negara.
“Mengikut data populasi OKU, sepatutnya mencecah 16 peratus dalam jumlah populasi setiap negara, bermaksud, berdasarkan 34 juta rakyat Malaysia, sepatutnya kita mempunyai lima juta OKU.
“Tetapi berdasarkan rekod Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, setakat tahun lepas, hanya 700,000 jumlah kad OKU dikeluarkan.
“Ini bermaksud lebih empat juta OKU diluar sana belum berdaftar, ataupun mungkin ada keluarga merasakan tidak perlu (untuk mempunyai kad OKU), atau mungkin ada yang segan.
“Tetapi apa yang saya tahu, berdasarkan pencapaian atlet para Malaysia, saya pasti rasa minat akan wujud selepas ini. Setiap orang yang hadir dan berjaya di sini bakal menjadi sumber inspirasi untuk keluarga di luar sana untuk mendaftar anak-anak mereka yang OKU, “katanya.
Selain itu, beliau juga menidakkan kenyataan bahawa minat terhadap sukan para adalah kurang berbanding sukan biasa.
“Berdasarkan Facebook saya sendiri, video – video paralimpik atau olimpik, video Bonnie Bunyau Gustin mendapat pingat emas mendapat ‘view’ tertinggi.
“Ini menunjukkan bahawa minat yang amat tinggi terhadap atlet para kita,” jelasnya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT dan MOHD NEENATUL AIZAL