MIRI: Lumba Berbasikal Kuala Baram (KBCR) 5.0 terus mencipta nama apabila berjaya menarik penyertaan seramai 545 pelumba dari sembilan negara pada edisi kali ini, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara acara berbasikal paling berprestij di utara Sarawak.
Majlis pelepasan peserta berlangsung di Simpang Jalan Marigold, Kuala Baram, hari ini, dan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang.
Menurut Adam Yii, jumlah penyertaan yang memberangsangkan itu membuktikan KBCR semakin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
“Tahun ini, KBCR berjaya menghimpunkan 545 pelumba dari sembilan negara, lapan negeri di Malaysia serta lapan bahagian di Sarawak. Ini menunjukkan acara ini terus berkembang dari tahun ke tahun dan menerima sambutan yang amat menggalakkan,” katanya.

Beliau berkata, KBCR bukan sekadar medan pertandingan berbasikal, malah menjadi platform penting untuk mempromosikan pelancongan sukan, menggalakkan gaya hidup sihat serta memperkenalkan keindahan Kuala Baram dan bandar raya Miri kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.
Katanya, penganjuran acara seumpama itu turut memberi limpahan manfaat kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan melalui peningkatan kehadiran peserta, penyokong serta pelancong yang berkunjung ke kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan selamat berlumba kepada semua peserta dan berharap mereka dapat menamatkan perlumbaan dengan selamat, di samping mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi.
Oleh Liong Chai Ling




