
NIAH: Program Jelajah Perpaduan Kayuhan Sihat Borneo 2025 bukan sekadar acara sukan, tapi membawa mesej besar dalam perpaduan, kerjasama dan gaya hidup sihat dalam membina sebuah negara bangsa yang harmoni.
Program ini memberi pelbagai manfaat kepada rakyat, organisasi, dan negara dalam memupuk semangat patriotisme dengan menggalakkan rakyat mengibarkan Jalur Gemilang sambil menghubungkan pemimpin bersama masyarakat melalui pertemuan di setiap lokasi persinggahan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus berkata, kehadiran semua menjadi bukti nyata bahawa semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia terus hidup dan berkembang subur.
“Pada hari yang bersejarah ini, kita berada di Taman Negara Niah yang merupakan antara tapak arkeologi penting di Malaysia bagi bersama-sama untuk melancarkan satu misi yang sangat signifikan kepada usaha memperkukuhkan perpaduan.
“Penyertaan meluas daripada kelab permotoran, nelayan, pelajar, NGO, dan warga emas mewujudkan rasa kepunyaan terhadap sambutan kebangsaan, di samping mempromosikan pelancongan domestik apabila konvoi melalui bandar, pekan, dan kampung yang mempamerkan budaya serta tarikan tempatan,” katanya.
Beliau yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata demikian pada Perasmian Program Jelajah Perpaduan Kayuhan Sihat Borneo 2025 anjuran kerjasama Pertubuhan Nadi Sihat, Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Penerangan Malaysia di Taman Negara Niah hari ini.
Tambahnya, program ini juga ada agendanya iaitu Perpaduan dan Integrasi Nasional menekankan pengukuhan hubungan masyarakat melalui program harmoni dan aktiviti komuniti.
“Agenda Nasional Malaysia Sihat pula mempromosikan gaya hidup sihat dengan ceramah, saringan, dan kit kesihatan.
“Kembara Merdeka Jalur Gemilang ialah konvoi patriotik anjuran JaPen sempena Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia,” jelasnya.
Jesteru, kepada peserta kayuhan, tahniah atas keberanian dan komitmen, anda bukan sekadar peserta tetapi sebagai duta perpaduan yang akan membawa mesej keharmonian ke setiap tempat yang dilalui.
Sehubungan itu, diharapkan program ini akan menjadi contoh cemerlang dan pemangkin kepada lebih banyak inisiatif yang menyatukan rakyat serta memperkukuh jati diri nasional, khususnya di Sabah dan Sarawak serta Malaysia secara amnya.
Hadir program Ketua Eksekutif Pertubuhan Nadi Sihat Fahisha Irwan Mustafa, Pengawal Taman Negara dan Rizab Alan (Pertubuhan Perhutanan Sarawak) Louis Velda Dominic Salon, Pegawai Perpaduan Miri Wilfred Ugap dan Andy Anderson Ekong dari KKM.
Oleh Adum Liu