KUCHING: Para pemain industri disaran untuk memainkan peranan mereka dalam menerajui penerokaan potensi pengembangan produk berasaskan kayu di negeri ini.
Menteri Muda Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, kepentingan ini seiringan dengan sasaran Kerajaan Negeri bagi meraih RM8 bilion daripada nilai eksport kayu serta produk berasaskan kayu.
“Kayu buatan atau rekayasa (engineered timber) adalah salah satu produk berpotensi untuk dikembangkan lebih jauh dengan permintaan di pasaran dunia yang bernilai USD41.27 bilion pada tahun 2022.
“Kita harus turut serta dalam peredaran pasaran ini kerana kita mempunyai potensi mengembangkan dan meneroka produk ini terutama menggunakan kayu dari hutan yang ditanam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Seminar Produk Berasaskan Kayu Direkayasa (Seminar on Engineered Timber Products) 2020 di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Menurutnya, Sarawak perlu mengadakan jalinan kerjasama dengan institusi tinggi serta agensi penyelidikan dan pelaku industri lain sekiranya ingin mengembangkan potensi industri kayu ini.
“Kerjasama dengan UiTM (Universiti Teknologi Mara), STIDC (Sarawak Timber Industry Development Corporation) dan Woodsfield Glulam Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat yang berpusat di Johor, semestinya dapat meningkatkan kemampuan kita dari segi pengetahuan dan teknologi berkaitan industri ini.
“Kerjasama yang dijalinkan ini dapat menghalakan tumpuan kita pada penelitian dan pengembangan untuk menghasilkan kayu rekayasa menggunakan spesies Akasia dari hutan negeri ini, dan seterusnya mengeksport produk tersebut hingga ke luar negara,” tambahnya lagi.
Mengulas mengenai penganjuran seminar ini, Len Talif menyifatkan ini adalah pendekatan yang proaktif diambil oleh STIDC dalam memastikan industri kayu negeri terus berkembang.
“Kadar eksport kita pada tahun ini telah menurun 20 peratus berbanding tahun lalu, dan oleh kerana itu kita telah mengambil inisiatif seperti ini bagi memastikan industri ini terus berkembang.
“Menerusi inisiatif ini, kita berharap industri kita ini terus bersedia untuk memenuhi keperluan produk kayu di luar negara pada tahun yang akan datang,” ujarnya lagi.
Jelas Len Talif lagi, STIDC memberikan tumpuan yang lebih mendalam terhadap perkembangan industri kayu ini agar ia tetap relevan dan kuat.
“Kami menyedari bahawa masalah yang mempengaruhi industri berasaskan kayu ini adalah berkaitan dengan persepsi mengenai pengurangan bahan mentah.
“Isu ini merupakan satu cabaran yang menuntut perhatian serius kami dalam menentukan masa depan industri berasaskan kayu ini dalam tempoh 20 hingga 30 tahun ke hadapan,” katanya.
Oleh AKMAL ADIB YUSUP