



SARIKEI: Sarikei dan kawasan sekitarnya seperti Betong, Mukah dan Tanjung Manis berupaya menjadi ‘bakul makanan’, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak berkata Sarikei juga terkenal dengan hasil nanas, lada hitam dan limaunya.
“Dengan kata lain, Sarikei dan kawasan sekeliling merangkumi Betong, Mukah dan Tanjung Manis merupakan kawasan ‘food basket’ (bakul makanan) yang amat berpontensi untuk mengeluarkan hasil pertanian bukan sahaja untuk pasaran domestik, malah eksport ke luar negara.
“Kita telah pun bangunkan agropark di Sarikei yang akan menjadi pemangkin kepada usaha ini.
“Dalam usaha untuk membangunkan kawasan ini, saya yakin pembinaan rangkaian jalan raya dan jambatan yang bersepadu di kawasan Sarikei, akan memudahkan pergerakan rakyat melalui jalan darat, sekali gus memudahkan logistik untuk hasil-hasil pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena sambutan perayaan Hari Kebangsaan 2025 bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantun’ di sini hari ini.
Hadir sama Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Abang Johari berkata baru-baru ini beliau berada di Tanjung Manis dan sempat meninjau projek perintis menanam padi yang merupakan kerjasama pihak swasta dan pemilik tanah setempat.
Kejayaan projek tersebut katanya, memberi harapan yang tinggi kepada visi Sarawak untuk menjadi pengeluar beras utama di negara ini menjelang 2030.
“Pembangunan Tanjung Manis sebagai Hab Halal, bakal menempatkan Sarawak sebagai pemain utama dalam industri pemprosesan makanan halal untuk pasaran domestik dan antarabangsa.
“Tanjung Manis dilengkapi dengan infrastruktur yang lengkap seperti lapangan terbang, pelabuhan termasuk pelabuhan khusus untuk perikanan laut dalam sudah tentu dapat merancak dan memperkukuh kedudukan Tanjung Manis dan Sarikei sebagai pengeluar makanan utama di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata projek perintis tanaman padi seluas 104 hektar itu berjaya menghasilkan dua musim tuaian setahun dengan purata tuaian sebanyak empat tan sehektar.
“Kita telah pun mempunyai perancangan bagi Tanjung Manis yang akan memberi impak ekonomi yang besar kepada Sarikei iaitu Kawasan Pertumbuhan Ekonomi Tanjung Manis atau T-MEGA.
“Pelan bersepadu ini menggabungkan industri agro, logistik, pelancongan dan teknologi hijau. Apabila semua inisiatif ini digerakkan secara sinergi, Sarikei akan menerima limpahan manfaat, bukan sahaja dari segi peluang pekerjaan dan peningkatan aktiviti ekonomi, tetapi juga dari segi peningkatan taraf hidup masyarakat tempatan yang terlibat dalam rantaian nilai industri ini,” katanya.
Abang Johari berkata keputusan kerajaan Sarawak untuk menubuhkan RADDA atau Agensi Pembangunan Delta Rajang adalah tepat.
Dengan ada RADDA, beliau yakin pelbagai inisiatif dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, berkesan dan memberi manfaat menyeluruh, khususnya kepada warga Sarikei.
Katanya, sinergy pembangunan kawasan RADDA yang termasuk Sarikei dan Tanjung Manis akan lebih terserlah apabila ia digerakkan secara terancang, dengan penekanan perindustrian berasaskan sumber, pelabuhan moden serta pelancongan.
“Usaha ini bukan sahaja akan memperkukuh daya saing kawasan tersebut, malah mampu melahirkan peluang pekerjaan baharu, meningkatkan taraf hidup masyarakat tempatan, serta menjadikan seluruh kawasan Delta Rajang sebagai hab pertumbuhan ekonomi yang penting bagi Sarawak,” katanya.