
SELANGAU: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Selangau memantau keadaan beberapa kawasan rendah di Jalan Dijih di sini yang dinaiki air susulan hujan lebat berterusan sejak malam tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Selangau Leftenan (PA) Luke Douglas Dongum berkata hasil pemantauan pagi ini mendapati paras air di kawasan berkenaan berada pada anggaran antara 0.13 hingga 0.77 meter di atas jalan rendah.
“Pemantauan dijalankan bermula 7.20 pagi dan mendapati laluan menuju ke beberapa rumah panjang di kawasan Dijih dinaiki air serta hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat buat masa ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, keadaan cuaca ketika pemantauan adalah hujan renyai-renyai, manakala status sungai setakat ini menunjukkan trend mendatar dan masih terkawal.
Beliau berkata hujan lebat semalaman dikenal pasti sebagai punca utama beberapa kawasan rendah dinaiki air, namun setakat ini tiada pemindahan penduduk dilakukan.
APM Selangau akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan penduduk setempat serta bersedia mengambil tindakan lanjut sekiranya keadaan bertambah buruk.
Oleh Tarani Lanting