
PIHAK berkuasa mungkin perlu mengubah kaedah apabila melakukan kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak.
Ini berikutan kesalinghubungan (connectivity) semakin bertambah baik.
Misalnya, kawasan yang selama ini agak jauh dipisahkan oleh sungai atau jalan raya, kini sudah dekat dengan kawasan seberang setelah siapnya pembinaan jambatan menyeberangi sungai.
Ini bermakna, kawasan yang terpisah boleh ‘disatukan’ dan disusun semula untuk ditempatkan di dalam kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) berdekatan yang ‘dipisahkan’ oleh sungai atau jalan darat yang jauh sebelum ini.
Contohnya, kawasan Pulau Bruit yang kini dalam DUN Semop, boleh dimasukkan ke dalam DUN Daro berikutan jaraknya sudah dekat dengan pekan Daro setelah siapnya Jambatan Batang Lassa.
Sebelum ini feri digunakan dari arah tanah besar Daro untuk ke kawasan Pulau Bruit yang menempatkan lapan kampung nelayan dan petani.
Begitu juga dengan siapnya jambatan Batang Saribas 1 yang mula dibuka kepada orang ramai mulai 25 Mei 2025, menggantikan perkhidmatan feri. Ini mendekatkan Pusa dan Beladin.
Daerah Pusa terletak di bawah kawasan Parlimen Batang Lupar dan Parlimen Betong yang merangkumi tiga kawasan DUN iaitu Lingga, Beting Maro dan Saribas.
Beladin pula di bawah DUN Beting Maro.
Ini juga perlu disusun semula kerana jarak semakin dekat, sekali gus mempermudahkan dari segi pentadbiran dan perjalanan.
Sejingkat dengan Samarahan akan semakin dekat dengan jajaran jalan dari Jambatan Batang Sejingkat ke Jambatan Batang Samarahan melalui Kampung Tanjung Bako.
Ia merupakan komponen penting dalam program Jajaran Utama Kedua Sarawak (STR) yang menghubungkan kawasan dari Batang Sejingkat melalui Samarahan, Sebuyau, Betong sehingga ke beberapa kawasan di Sarikei.
Begitulah kesalinghubungan penempatan dengan pembinaan 16 jambatan utama, dengan yang terakhir iaitu jambatan Rambungan, Lundu dijangka siap menjelang Julai 2027.
Yang sudah siap ialah Jambatan Jepak, Marudi, Muara Lassa dan Batang Rajang.
Yang lain dijangka siap dalam tahun ini ialah Jambatan Sungai Lingga (dijangka siap bulan depan), Batang Lupar 1, Sungai Limbang, Sebauh dan Sejingkat.
PERLU MAKLUM BALAS ORANG RAMAI
Tahun depan pula dijangka siap Jambatan Batang Paloh, Batang Igan, Krian, Batang Lupar 2 dan Batang Saribas 2.
Kapit pula dengan mudah diakses melalui jalan raya dari Sibu.
Begitu juga Marudi dari Miri setelah siap jambatan Marudi.
Kawasan Baram yang begitu luas juga mungkin perlu dipecahkan kepada dua kerusi Parlimen.
Ini perlu dilakukan berdasarkan keluasan kawasan, bukan kaedah ‘one man, one vote’ seperti digunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selama ini, yang perlu diubah.
Jika tidak, hanya kerusi di bandar yang padat penduduk sahaja akan ditambah kerusi Parlimen atau DUN.
Kaedah ‘seorang satu undi’ (one man, one vote) bermaksud kedudukan kerusi dinilai berdasarkan jumlah pengundi, bukan keluasan kawasan Parlimen atau DUN apabila melakukan kerja persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Dengan jarak semakin dekat berikutan wujudnya jambatan dan rangkaian jalan raya termasuk Lebuh Raya Pan Borneo, semua ini sebenarnya mengecilkan Sarawak kerana ia akan mengurangkan masa perjalanan melalui jalan raya di seluruh negeri.
Faktor inilah perlu diambil kira apabila SPR melakukan persempadanan semula nanti.
Ini terutamanya apabila mewujudkan kerusi Parlimen atau DUN baharu, yang sebelum ini sukar ‘disatukan’ kerana jarak terpisah oleh sungai atau jalan raya yang agak jauh.
Apabila Tanjung Embang dilengkapi dengan lapangan terbang antarabangsa baharu Kuching dan pelabuhan laut dalam, kawasan ini juga berpotensi untuk kerusi DUN baharu, dengan memasukkan beberapa penempatan/kampung dari lokasi luar bandar Kuching dan Samarahan ke situ.
Malah sudah ada rancangan menyambungkan Tanjung Embang dengan rangkaian jalan raya pesisir terus ke Samarahan dan Sebuyau.
Bagaimanapun, orang ramai tidak perlu risau kerana suara mereka didengari seperti lazimnya apabila berlaku proses persempadanan semula kawasan pilihan raya.
SPR akan mempamerkan sebarang cadangan dan membuka ruang untuk orang ramai mencadang atau membantah sebarang perubahan.
Kali terakhir kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak ialah pada 2015, manakala di Sabah pula 2017.
Kajian itu adalah bagi setiap lat lapan tahun.
Ini bermakna, kerja persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak sepatutnya pada 2023 dan Sabah pula tahun ini.
Bagaimanapun, tidak pasti mengapa kelewatan itu berlaku, sudah tertangguh dua tahun bagi Sarawak.

Ketika sidang DUN bulan lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63, dan Hubungan Negeri- Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, berkata tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini berhubung pelaksanaan persempadanan semula kawasan pilihan raya di negeri ini yang akan datang.
Katanya, perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan mengenai perkara itu masih berjalan.
Kali terakhir Kerajaan Persekutuan mengeluarkan kenyataan berkaitan ialah pada Februari lalu menerusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

SPR TELITI KESESUAIAN
Azalina berkata, SPR sedang meneliti kesesuaian untuk melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya Sarawak selepas lat atau tempoh lapan tahun bagi kajian semula persempadanan negeri ini tamat tahun lalu.
Beliau berkata urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian pilihan raya sedia ada hanya boleh dilaksanakan jika difikirkan perlu selepas tamat lat tempoh lapan tahun atau terdapat pindaan undang-undang ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Lat tempoh lapan tahun bagi kajian semula persempadanan Sabah akan berakhir pada 2025, manakala Negeri-Negeri Tanah Melayu pada 2026.
“Lat tempoh lapan tahun bagi Sarawak sudah pun berakhir pada 2023 dan SPR sedang mempertimbang dan meneliti kesesuaian untuk melaksanakan urusan berkenaan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Pada kali terakhir Sarawak melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya, menyaksikan pertambahan 11 kerusi DUN pada 2016 daripada 71.
Daripada 11 kerusi itu, tiga kawasan majoriti Melayu/Melanau iaitu Gedong, Kabong dan Tellian, tiga majoriti Iban di Stakan, Selirik dan Samalaju; dua Orang Ulu di Murum dan Long Lama, dua Bidayuh di Serembu dan Triboh, dan satu majoriti Cina di Batu Kitang.
Komposisi seperti ini perlu dikekalkan apabila berlaku persempadanan semula bagi menseimbangkan perwakilan berasaskan kaum.
Sudah empat kali SPR melakukan persempadanan semula bagi Sarawak.
Yang pertama pada 1985, dengan peningkatan daripada 48 kerusi menjadi 56 kerusi DUN.
Seterusnya pada 1995 apabila jumlah kerusi bertambah kepada 62, sebelum meningkat menjadi 71 pada 2005.
Persempadanan pada 2015 adalah jumlah pertambahan paling banyak dalam tempoh setengah abad lalu, sekali gus menjadikan Sarawak memiliki kerusi DUN terbanyak di negara ini.
Sarawak kini mempunyai jumlah kawasan DUN paling banyak di negara ini dengan keseluruhan 82 kawasan, selain 31 kerusi Parlimen.
Isu penyusunan semula kawasan pilihan raya ini juga boleh dijadikan persediaan untuk Sarawak memperoleh kerusi tambahan andainya tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sarawak dan Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dipersetujui nanti.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.