SALAH satu usaha memperkukuhkan undang-undang dan kawalan pergerakan manusia di Sarawak pada zaman Brooke adalah mengawal sempadan. Sempadan Sarawak dengan Kalimantan yang dijajah oleh Belanda bukannya satu kawasan yang bebas dimasuki seperti sebelum itu.
Ini kerana, kerajaan Belanda juga menguatkuasakan undang-undang mereka sendiri di sempadan Kalimantan. Oleh itu, sebarang pencerobohan sempadan tidak dibenarkan dan hal ini membawa kepada perlunya pendekatan baharu dalam mengawal pergerakan manusia.
Hal ini juga bukan sahaja menjadi masalah bagi kerajaan Brooke tetapi juga Belanda. Ada juga pesalah atau pelarian yang cuba melepaskan diri daripada undang-undang Belanda di Kalimantan berlindung di Sarawak. Tambahan daripada itu pada awal pemerintahan Raja James Brooke di Sarawak, penyeludupan hasil antimoni dan emas serta candu sering berlaku di sempadannya dengan Belanda.
SITUASI AWAL
Atas sebab itu perlu bagi kedua-dua kerajaan mengawal situasi seumpama ini berlaku terutama individu atau kumpulan yang melakukan kesalahan. Walaupun ada bantahan pemerintahan Belanda di Sambas ke atas kehadiran pemerintahan Brooke di Sarawak, mereka memerlukan kerjasama dengan kerajaan Brooke bagi mengatasi masalah kelonggaran sempadan masing-masing.
Kerajaan Brooke pernah mengalami masalah ini apabila berlaku pemberontakan di Kuching pada 1857. Ramai pemberontak yang dikalahkan telah melarikan diri ke sempadan Kalimantan. Pihak kerajaan Brooke pula tidak dapat menangkap mereka kerana mereka telah berjaya menyeberangi sempadan wilayah kekuasan pemerintahan Belanda.
Namun, kerajaan Belanda di kawasan sempadan dapat mengawal keadaan dan telah menahan pihak yang menyeberangi sempadan mereka. Selain itu kerjasama awal antara kedua-dua kerajaan ini dapat dilihat pada 1881. Kes samun di Sarawak yang berlaku setahun sebelum itu melibatkan sekumpulan penduduk dari Sintang yang menyamun pekedai Sarawak telah berjaya diselesaikan. Pelaku telah ditahan oleh pihak berkuasa Belanda, dan telah dibicarakan di Batavia, manakala hasil rompakan mereka telah dikembalikan kepada pekedai tersebut atas pemintaan kerajaan Brooke.
KERJASAMA
Kerjasama antara kedua-dua kerajaan ini diteruskan dengan usaha lebih kukuh lagi bagi menghalang sebarang pelanggaran dalam aspek undang-undang. Sehubungan dengan hal ini, dalam mesyuarat Majlis Tertinggi di Kuching pada 12 Mac 1887, ahli-ahlinya telah dimaklumkan oleh Raja Charles Brooke bahawa perlunya satu perundingan dilakukan dengan kerajaan Belanda bagi memperkukuhkan lagi hubungan antara kedua kerajaan dalam membenteras kegiatan menyeberang sempadan oleh pesalah-pesalah dari wilayah masing-masing.
Cadangan disarankan oleh Raja Charles Brooke ialah untuk mengadakan perjanjian serah balik (extradition) dengan kerajaan Belanda bagi pelaku-pelaku kesalahan yang cuba menyeberangi sempadan untuk dibawa pulang bagi tujuan perbicaraan. Beliau memaklumkan kepada ahli majlis bahawa kerajaan Brooke dan kerajaan Belanda sedang mengadakan rundingan tentang hal ini.
Cadangan perjanjian serah balik dari kerajaan Brooke ini memberi manfaat kepada kedua-dua kerajaan. Ini kerana sejak dipersetujui kedua-dua kerajaan telah berhasil untuk mengekang penjenayah dan pesalah daripada melarikan diri ke sempadan wilayah masing-masing.
Hal ini dilaporkan pada 1 Oktober 1895 bahawa kerajaan Brooke mendapat hak serah balik ke atas sekurang-kurangnya lima orang dari kerajaan Belanda. Seorang daripadanya adalah banduan yang melarikan diri, dan seorang lagi adalah perompak.
Banduan yang melarikan diri ini disabitkan kesalahan membakar Kampung Tringgus. Dia dijatuhkan hukuman lima tahun tetapi dapat melarikan diri dan bersembunyi di Sambas. Namun demikian dia berjaya ditangkap oleh pihak berkuasa di Sambas. Pada Oktober 1895 kerajaan Belanda di Sambas telah menyerah kembali dia kepada kerajaan Brooke.
Bagi yang melakukan kesalahan merompak pula, kesalahannya melibatkan satu kejadian merompak kedai bakeri kepunyaan Ah Tek. Ah Tek telah mengalami kerugian sebanyak $800. Pesalah tersebut juga berjaya ditangkap, manakala tiga orang yang membantu perompak melarikan diri juga telah ditangkap dan diserah kembali oleh pihak berkuasa Belanda kepada kerajaan Brooke.
TIMBAL BALIK
Bagi kerajaan Belanda pula hasil persetujuan serah balik ini, mereka juga berjaya menyelesaikan kes-kes pelarian yang melarikan diri ke wilayah Sarawak. Pada 9 September 1895, Penolong Residen di Sambas pernah meminta bantuan dari kerajaan Sarawak untuk meminta, mencari dan menghantar pulang buruh-buruhnya yang melarikan diri ke Sarawak.
Buruh-buruh ini dikatakan telah melarikan dari estet Cultuer Matschappij dari Sakong. Buruh yang melarikan diri ini adalah 10 buruh Jawa yang telah didaftarkan. Hal ini telah dimaklumkan oleh Pemangku Pengerusi H. F. Deshon dalam mesyuarat Majlis Tertinggi yang diadakan pada 20 September 1895.
Dalam mesyuarat Majlis Tertinggi itu salah seorang ahlinya iaitu Datu Bandar Bolhassan mengakui bahawa beliau telah dimaklumkan hal ini daripada pegawai Belanda di Borneo. Dalam hal ini beliau bersetuju untuk serah kembali buruh-buruh tersebut kerana mereka melanggar kontrak.
Pendapat beliau dipersetujui oleh H. F. Deshon. Usaha untuk menghantar pulang buruh ini telah dilakukan, dan kerajaan Belanda telah memaklumkan bahawa pembantu estet iaitu E. van Engel bersama dua anggota polis untuk mengambil semula buruh-buruh tersebut. Oleh kerana Van Engel tidak mempunyai dokumen daripada pihak kerajaan Belanda, maka usaha mengambil buruh yang ditahan di Kuching dilakukan oleh Dr. Bosscha yang juga dari estet Cultuer Matschappij.
Kerjasama antara kedua-dua kerajaan berterusan dengan menyerah kembalikan pesalah-persalah yang lain. Pada 12 Oktober 1895 misalnya, seorang yang disyaki membunuh di hilir Sarawak telah ditahan di Sambas. Apabila berita ini dimaklumkan, pesalah tersebut telah diberkas dan ditahan oleh pihak berkuasa Belanda. Pihak polis Sarawak diberi kebenaran mengambil pesalah tersebut untuk dibicarakan di Kuching.
Begitulah kerjasama yang dijalankan oleh kerajaan Brooke dan Belanda bagi menguatkuasa undang-undang mereka yang melibat pesalah yang melarikan diri ke sempadan. Oleh itu pesalah tidak mempunyai ruang untuk melarikan diri daripada kesalahan mereka.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).