TAHNIAH…Dato’ Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya menyampaikan sijil penyertaan kepada penjawat awam yang
mengikuti Program Enhancing Integrity Project (EIP).
LUNDU: Pengawalan sempadan memerlukan pegawai-pegawai yang mempunyai integriti yang tinggi daripada kedua-dua negara sama ada Malaysia mahupun Indonesia.
Timbalan Menteri Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Dato’ Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya berkata integriti penjawat awam yang mengawal sempadan akan membuka ruang untuk berlakunya aktiviti yang tidak berintegriti yang akan mencemarkan maruah negara.
“Peluang dan ruang untuk berlakunya aktiviti tidak berintegriti seperti rasuah, salah guna kuasa, pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah, bahan-bahan terlarang serta hasil pertanian terlarang untuk dibawa masuk boleh berlaku bila integriti penjawat awam yang mengawal sempadan berada dalam keadaan yang lemah.
“Pengawalan sempadan memerlukan kerjasama daripada kedua-dua negara. Oleh yang demikian, inisiatif yang dilaksanakan di negara kita perlu dikongsi bersama dengan negara jiran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penutupan Program Enhancing Integrity Project (EIP)- Melestarikan Integriti Penjawat Awam di Kawasan Sempadan Program Pegawai Integriti Bertauliah (CEIO) di Dewan Serbaguna Kampung Pasit Hulu Lundu, di sini, kelmarin.
Tambahnya, Sempadan Sarawak dengan antarabangsa merupakan jarak yang begitu panjang dengan lebih kurang 2,000 kilometer (km) memberi ruang berlakunya isu-isu penyeludupan di kawasan tersebut.
“Selain itu, program ini diharap dapat mendidik masyarakat agar memegang teguh kepada amalan yang berintegriti demi mencapai sebuah kehidupan yang lebih harmoni.
“Dalam pada itu, ia juga diharap dapat memperkukuh hubungan antara penjawat awam dengan penduduk tempatan dan menjalin kerjasama dalam meningkatkan integriti dengan negara jiran,” jelasnya.
Difahamkan, program tersebut turut melibatkan kakitangan awam terutama yang bertugas di ICQS, Biawak Lundu, komuniti di Biawak yang merangkumi tiga orang ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari 13 kampung di kawasan Biawak, penduduk kampung dan kakitangan awam dari Kalimantan Barat.
Oleh RYNNA SHA’ERRA