
ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menandatangani perintah eksekutif semalam bagi mengarahkan setiausaha pendidikannya untuk memansuhkan Jabatan Pendidikan AS, menurut laporan The Wall Street.
Draf perintah itu mengarahkan Setiausaha Pendidikan Linda McMahon untuk mengambil semua langkah perlu bagi memudahkan penutupan Jabatan Pendidikan sejauh mana yang dibenarkan oleh undang-undang.
“Percubaan mengawal pendidikan di AS melalui program dan dana persekutuan serta birokrat yang tidak bertanggungjawab yang disokong oleh program dan dana tersebut telah gagal dalam memberikan manfaat kepada anak-anak kita, guru, dan keluarga,” menurut draf perintah berkenaan.
Laporan The Journal menyatakan draf tersebut dilabel sebagai ‘prakeputusan’, menunjukkan ia masih boleh berubah, namun pemansuhan jabatan itu telah lama menjadi agenda utama dalam kalangan konservatif di AS.
Selepas pengesahan Senatnya, McMahon yang mempunyai latar belakang profesional dalam sukan gusti yang disiarkan di televisyen memaklumkan kakitangan melalui e-mel bahawa beliau akan mengembalikan pendidikan kepada negeri-negeri.
Beliau berkata, Trump dan pengundi AS telah memberi kepercayaan kepada mereka untuk melaksanakan pemansuhan Jabatan Pendidikan secara pantas dan bertanggungjawab.
Trump telah lama menyasarkan jabatan itu untuk dimansuhkan, yang ditubuhkan oleh Kongres pada 1979 bagi memperkukuh sokongan persekutuan terhadap peluang pendidikan yang saksama serta melengkapkan usaha negeri-negeri.
“Satu lagi perkara yang akan saya lakukan pada peringkat awal pentadbiran ialah menutup Jabatan Pendidikan di Washington, DC, dan menyerahkan semua urusan pendidikan kembali kepada negeri-negeri,” katanya dalam video kempen pada 2023.
Trump tidak boleh menutup jabatan itu hanya melalui perintah eksekutif tanpa kelulusan kongres, namun beliau masih boleh menjejaskan fungsinya dan mengagihkan semula tugasnya.
– BERNAMA