
MIRI: Penduduk di sini terus memanfaatkan Kaunter Khidmat Bergerak Parlimen Miri sebagai platform mendapatkan bantuan, panduan serta menyuarakan pelbagai isu berkaitan kebajikan dan perkhidmatan awam secara terus kepada wakil rakyat mereka.
Program yang diadakan di sebuah kedai kopi di Morsjaya itu membuka ruang kepada masyarakat setempat untuk mengemukakan aduan, pandangan dan cadangan berkaitan kemudahan awam, kebajikan serta isu harian.
Antara perkara yang paling banyak mendapat perhatian ialah semakan status Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), permohonan Kad Emas Kenyalang (KGC) serta Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB).
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, sesi turun padang seperti itu penting bagi memastikan keperluan rakyat dapat difahami secara langsung.
“Saya melihat keperluan untuk sesi seperti ini diteruskan kerana masih ramai yang memerlukan bantuan dari segi maklumat dan panduan, khususnya berkaitan bantuan kerajaan dan perkhidmatan awam.
“Dengan turun padang dan berjumpa sendiri dengan rakyat, kita dapat memahami keadaan sebenar serta cabaran yang mereka hadapi,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, setiap isu yang dibangkitkan akan disalurkan kepada agensi berkaitan bagi tindakan lanjut.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan setiap aduan dapat ditangani dengan lebih cepat dan berkesan.
Chiew turut merakamkan penghargaan kepada penduduk yang hadir serta berkongsi pandangan sepanjang program berlangsung.
“Maklum balas daripada masyarakat amat penting supaya kita dapat menambah baik perkhidmatan dan memastikan keperluan rakyat sentiasa diberi perhatian,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa program seumpama itu akan diteruskan secara berkala sebagai usaha berterusan untuk mendekati rakyat dan menjaga kebajikan masyarakat setempat.
Oleh Liong Chai Ling