

SAJAK merupakan karya sastera yang memanfaatkan bahasa melalui kata untuk mengungkapkan pemikiran dan perasaan penulisnya terhadap sesuatu isu. Bahasa melalui kata ini terakam dalam ungkapan yang membina estetika untuk menjadikan sajak itu indah, menarik dan bermakna.
Hal yang perlu difahami dalam konteks menghasilkan sajak ialah “ungkapan yang membina estetika” sebagai pengucapan dalam sajak yang “indah, menarik dan bermakna”.
Analoginya seperti seorang lelaki melihat seorang wanita. Lelaki itu mula bercerita tentang pakaian yang digunakan oleh wanita berkenaan. Mungkin lelaki itu akan memperkatakan tentang warna pakaian tersebut, atau tentang corak pada pakaian tersebut atau tentang fesyen pakaian tersebut. Kemudian, lelaki itu pun membuat tafsiran bahawa wanita itu cantik.
Persoalannya ialah, adakah wanita itu cantik kerana rupanya atau disebabkan pakaiannya? Dua situasi ini memungkinkan kita perlu menggunakan kaedah penceritaan dengan memastikan bahasa melalui kata itu benar-benar memberi kefahaman tentang “pengucapan estetika” tentang makna cantik tersebut.
Hal ini ada hubung kaitnya dengan penggunaan diksi dalam lingkungan kata konkrit dan kata abstrak dalam sesebuah sajak untuk menentukan “imej” pada pemahaman pembaca.
Kata konkrit dalam sajak bermaksud kata yang membawa pemaknaan yang nyata dan jelas.
Penandaannya tidak memerlukan tamsilan yang merumitkan pentafsiran. Walaupun demikian, kata konkrit bukan sekadar kata-kata yang digunakan dengan andaian membawa makna objektif semata-mata.
Perkara ini penting difahami kerana kelangsungan makna berdasarkan penggunaan kata akan menjadikan sajak itu kaku dan tidak puitis sekiranya diambil mudah dalam soal estetika pengkaryaan.
Kata konkrit seumpama batu-bata yang menguatkan pembinaan sesebuah rumah. Walaupun fungsinya lebih tertumpu pada pembinaan dinding, tetapi secara keseluruhannya ‘batu-bata’ itu menyokong dan mendukung struktur rumah serta menjadi daya hias dalam konteks persempadanan ruang bagi sesebuah rumah.
Maka, kata konkrit dalam sesebuah sajak membina realiti terhadap maksud melalui imaginasi penulis untuk dijadikan naratif dalam sajaknya dengan gaya bahasa yang paling sesuai.
Kata konkrit juga menjadi jambatan untuk pembaca menyeberangi alir fikir penulis yang mungkin disadur dan dicampurkan dengan realiti dan imaginasi. Kata konkrit akan menyediakan jalan-jalan pemahaman yang sesuai dengan pengalaman serta pengetahuan pembaca kerana kata-kata yang digunakan mungkin hal yang sama dilalui oleh pembaca dalam konteks kehidupan.
Sifat kata konkrit yang objektif tetapi mempunyai makna akan membuka pintu-pintu pemikiran pembaca untuk melihat lebih dalam ruang akal budi penulis tentang isu yang diperkatakan atau diketengahkan oleh penulis.
Soalnya, bagaimanakah seseorang penulis itu menentukan penggunaan kata konkrit yang paling sesuai dan tepat dalam pengkaryaannya? Persoalan ini akan terjawab kemudian.
Kata abstrak pula merupakan kata yang subjektif. Sering dikaitkan dengan perasaan, gagasan dan hal-hal yang seakan-akan tidak kelihatan tetapi ada. Kata abstrak juga bersifat konsep dan idea.
Kata yang kita fahami tetapi tidak mampu kita tunjukkan secara mata kasar kerana kata abstrak hanya mampu dihayati dengan mata fikir. Justeru, penggunaan kata abstrak dalam sajak perlu lebih teliti kerana pemilihan kata yang tidak sesuai atau tidak menepati ciri yang memenuhi cerita sajak akan menyebabkan pembaca keliru dan mungkin menimbulkan keraguan terhadap mesej sebenar yang ingin diketengahkan oleh penulis.
Lebih ironis, kekeliruan mungkin timbul dalam pembacaan sesebuah sajak sekiranya kata abstrak yang digunakan tidak membawa pemaknaan tentang isu yang diceritakan. Sebagai contoh, kata “bahagia” amat kita fahami. Bahkan kata abstrak “bahagia” itu pernah kita rasai.
Tetapi sukar untuk kita gambarkan kebahagiaan itu. Kalau ada pun, kita cuba memaparkannya melalui konsep banyaknya harta benda, lantas kita anggap kaya raya itu gembira. Atau apabila kita berkelakuan ceria, maka kita pun dalam keriangan untuk bergembira.
Persoalannya, adalah kegembiraan itu juga merupakan kebahagiaan? Pertanyaan ini pun akan terjawab dalam perbincangan kita seterusnya.
Untuk melanjutkan perbincangan kita tentang kata konkrit dan kata abstrak ini, mari kita sama-sama membincangkan tiga buah sajak yang berjudul ‘Mengubati Igau’ nukilan Adie Abdul Gani, ‘Kelopak Ros Gugur’ nukilan Wan Roslina Wan Yusof dan “Litmus Lidah” nukilan Auni Hasya.
Penelitian ketiga-tiga sajak ini menggunakan tanda serta penanda pada kata konkrit dan kata abstrak yang ada dalam sajak dan memahami bahawa usaha menggabungjalinkan dua unsur kata itu oleh penulisnya mampu membina perspektif baharu dalam penghasilan sajak.
Sajak pertama yang akan kita bincangkan ialah ‘Mengubati Igau’. Sajak ini menarik dalam penceritaannya. Unsur naratif bertemakan simbol perubatan dengan watak yang digunakan jelas memanfaatkan kata konkrit.
Walaupun ceritanya sedikit menimbulkan kekeliruan kerana adanya unsur paradoks, tetapi penggunaan kata abstrak telah menjadikan sajak ini berada di atas landasan pemahaman pembaca.
Perhatikan keseluruhan sajak ini;
masa menyamar doktor
membalut beberapa luka
yang tertunda
berulang kali, tekal
dirinya mengaku penyelamat
cekal dirinya bukan
pengkhianat
pada sebuah janji dikota
luka-luka tidak akan
mendarahkan derita
bahkan tidak
mengulang kecewa
namun mengapa
kesembuhan masih
menyuntik hiba antara parutnya?
Pada rangkap pertama sajak ini, jelas dinyatakan watak ‘doktor’ sebagai kata konkrit. Watak yang berperanan untuk mengubat.
Maka, judulnya pun terbina dengan ungkapan ‘mengubati’. Tetapi ungkapan ‘luka yang tertunda’ dengan mendahulukan kata konkrit ‘membalut’ memberi satu penandaan estetika dalam situasi yang jelas tetapi dibayangi dengan episod yang kabur. Harus kita fahami bahawa diksi ‘doktor’ dalam sajak ini bukannya “doktor” yang sebenar tetapi hanya satu kiasan pada watak untuk merasionalkan cerita sajaknya.
Dalam rangkap kedua, watak melalui kata konkrit ‘penyelamat’ dan ‘pengkhianat’ dibuat secara penegasan melalui kata abstrak ‘tekal’ dan ‘cekal’.
Apakah penulis sengaja melakukan dorongan penegasan ini untuk mengukuhkan penceritaannya atau sekadar melakukan perbandingan? Dalam hal sebegini, penulis perlu adil kepada pembaca agar kelewahan makna atau urutan cerita tidak melulu dan hilang fokus.
Penggunaan simbolik yang baik melalui ungkapan ‘luka-luka tidak akan mendarahkan (lebih menarik kalau dieja dengan mendarahi) derita’ jelas membuktikan penulis berjaya memanfaatkan kata konkrit dan kata abstrak dengan baik.
Diksi ‘luka-luka’ dan ‘darah’ digabungjalinkan dengan derita memperlihatkan kesegaran pada ungkapan maknanya.
Berbeza dengan ungkapan pada rangkap terakhir sajak ini yang membina paradoks pada situasinya. Kata konkrit ‘menyuntik’ dan ‘parutnya’ dikaburi dengan kata abstrak ‘kesembuhan” dan ‘hiba’.
Walaupun demikian, metafora ‘menyuntik hiba’ memberi kesan terhadap keseluruhan makna kerana persoalannya mengajak pembaca meneroka pada awal penceritaannya.
Sajak kedua yang akan kita bincangkan berjudul ‘Kelopak Ros Gugur’. Sajak ini membawa tema keagamaan secara tidak langsung dengan membuat perbandingan situasi secara satira menggunakan kata konkrit ‘ros’.
Perlambangan bunga dengan menitip kaitan dan tautan tentang proses ‘kehidupan’ bunga membuat sajak ini agak segar dalam penceritaan, walaupun ada beberapa ungkapan agak klise.
Perhatikan keseluruhan sajak ini;
Kelopak ros yang gugur
tidak pernah membenci angin yang bertiup
apa lagi marahkan tangkai yang melepasnya
kerana ia gugur saat tepat waktu
takdir tiba untuk jatuh ke tanah
menyembah bumi
Walaupun dulu mekarnya
ia yang tercantik lagi mewangi
sering dipuji
namun, saat gugur
ia layu, buruk
Belajarlah dari kelopak ros yang gugur
ada waktu kita perlu redha dan akur
itu bukan maksud kita tak ampuh
hari ini diangkat seperti raja
belum tentu esok lusa kita selesa
kerana kita cuma hamba
hanya Yang Esa berkuasa merencana
Walaupun dalam sajak ini banyak kali ungkapannya agak langsung tetapi masih mengekalkan kepuitisan melalui penggunaan kata konkrit dan kata abstrak yang sesuai.
Sebagai contoh, ungkapan ‘kelopak ros yang gugur’ seakan-akan semuanya kata konkrit. Tetapi diksi “gugur” membina lapis makna yang memungkinkan kesan gugur itu secara drastik, perlahan atau didesak.
Hal ini menarik dibincangkan kerana persoalannya dikaitkan dengan ungkapan seterusnya, iaitu ‘tidak pernah membenci angin yang bertiup’ dan ‘marahkan tangkai yang melepasnya’.
Situasi ini digambarkan dengan kata abstrak ‘angin bertiup’ dan ‘yang melepasnya’. Ungkapannya agak sehala tanpa lapis makna yang lain tetapi apabila kita menekuninya secara tautan cerita, kelangsungan ungkapannya mengajak kita membina sintaksis makna yang lain melalui ungkapan “kerana ia gugur saat tepat waktu”.
Penulis sajak ini mengemukakan perbandingan situasi melalui rangkap kedua untuk menampakkan kesan sebelum dan selepas pada watak cerita. Hal ini menarik, kerana penggunaan kata konkrit dan kata abstrak teradun dengan rapi.
Sebagai contoh, kata konkrit ‘mekar’ dikesankan dengan kata abstrak ‘cantik’ dan ‘wangi’ untuk hal yang positif tetapi kata abstrak ‘gugur’ dikaitkan dengan kata konkrit “layu dan ‘buruk’ sebagai penegasan negatif.
Hanya pada rangkap terakhir, penulis sajak ‘Kelopak Ros Gugur’ agak hilang fokus untuk membuat kesinambungan cerita yang lebih mantap. Penulis sajak ini seakan-akan cuba membuat rumusan dengan ungkapan ‘kerana kita cuma hamba, hanya Yang Esa berkuasa merencana’ yang agak langsung dan drastik. Ungkapan ini bukan sahaja klise, tetapi terjelma dengan laras esei.
Sajak ketiga untuk kita sama-sama teliti dan bincangkan ialah ‘Litmus Lidah’. Sajak ini membawa tema kemanusiaan tentang kesan perkembangan ‘perbualan atau percakapan’ yang memfokuskan perubahan secara sedar serta tanpa sedar kita terhadap persekitaran.
Sajak ini mempunyai gagasan yang menarik dengan nafas pengungkapan yang segar walaupun ada hembusan ungkapannya yang agak drastik. Penggunaan kata konkrit pada judulnya, membuktikan penulis sajak ini cuba memanfaatkan kaedah kata kunci tentang dua diksi, iaitu ‘litmus’ dan ‘lidah’.
Untuk memudahkan perbincangan, kita huraikan makna literal tentang litmus sebelum kita kaitkan dengan cerita sajaknya. Litmus merupakan bahan berwarna dalam bentuk kertas untuk digunakan sebagai penunjuk kehadiran unsur asid atau alkali dalam analisis kimia. Lidah pula, jelas sebagai anggota yang ada di dalam mulut kita sebagai penentu rasa pada makanan yang kita makan.
Dua aspek yang hampir sama fungsinya tetapi berbeza cakupan peranannya, tetapi digabungjalinkan sebagai judul dan asas untuk penghasilan sajak, jelas membuktikan penulis sajak ini mempunyai imaginasi yang kuat dan baik. Mari kita sama-sama membaca dan menghayati sajak ini agar mudah untuk kita cerakinkannya menjadi butiran perbincangan.
Bak sebuah gelombang
dahulu bergetar
ikuti frekuensi kata nenek moyang
tapi kini nadanya hilang
dalam bising algoritma
dinding digital menyerap senyap
Graviti sosial
gaya hidup mengheret anak bangsa
ke dasar norma luar
hingga terlupa asal diri
perlahan mereput seperti jasad
tiada lagi diberi oksigen
Bahasa…
dulunya molekul bernyawa
bersarang dalam adikarya
kini perlahan tercerai
seperti DNA tanpa kod lengkap
bahasa dikira statik
tetapi lupa mereka satu hukum
semakin rapuh bila tidak disentuh
laksana logam sifatnya
rapuh bila dibiari berkarat
Layu mengalun
nampak semata cahaya putih
dikuburi kepolosan
membangkitkan spektrum tanpa warna
yang lupa disatui semula
Dan jika suatu hari
lidah hanya tinggal otot
tanpa makna yang dibiarkan
sunyi itu menjadi warisan
suara yang pernah ada
namun bisu yang lebih bergaya
diagungkan
Rangkap pertama sajak ini telah membuat perbandingan zaman dengan mengemukakan isu teknologi tetapi dibuat secara perlambangan kata. Perubahan zaman diungkap dengan ‘sebuah gelombang, dahulu bergetar, ikuti frekuensi kata’ sebagai mewakili kaedah percakapan masa lampau namun diungkap ‘nadanya hilang, dalam bising algoritma, dinding digital’ sebagai zaman moden. Keupayaan penulis sajak ini melakukan manipulasi bahasa melalui kata abstrak digunakan dengan amat baik.
Dalam rangkap kedua, agak simbolik penggunaan kata sama ada kata konkrit atau kata abstrak dalam sajaknya. Walaupun demikian unsur kekeliruan tetap berlaku kerana penulis tidak memurnikan unsur keserasian dalam ungkapannya.
Sebagai contoh, kata abstrak ‘graviti sosial’ tidak menampakkan nilai tautan yang harmoni apabila menggunakan kata konkrit seperti ungkapan ‘perlahan mereput seperti jasad’.
Kekeliruan berpanjangan berlaku dalam rangkap ketiga sajak ini apabila rentetan ungkapan terlalu teknikal pengungkapannya seperti ‘dulunya molekul bernyawa, bersarang dalam adikarya’ dan ‘seperti DNA tanpa kod lengkap’ serta ‘laksana logam sifatnya, rapuh bila dibiari (sepatutnya dieja dibiarkan) berkarat’.
Ungkapan demi ungkapan yang digauli kata konkrit dan kata abstrak ini hanya dikiaskan dengan tanda dalam kata imej, sedangkan penulis cuba menyentuh diksi ‘bahasa’ sebagai punca cerita. Penyesuaian tanda pada wacana perlu mempunyai signifikan yang sesuai.
Tetapi pada rangkap keempat, agak menarik paradoks digunakan dalam ungkapannya iaitu ‘layu mengalun, nampak semata cahaya putih’. Diksi ‘layu’ memberi sifat sudah ada warnanya sedangkan diksi ‘cahaya’ terlalu dominan menjadi ‘putih’.
Persoalan ini ditambah dengan ungkapan ‘membangkitkan spektrum tanpa warna, yang lupa disatui (sepatutnya dieja disatukan) semula’ secara kiasan melalui kata abstrak.
Penulis sajak ‘Litmus Lidah’ menutup penceritaan sajaknya dalam rangkap kelima dengan menyimpulkan tanggapan situasi yang menarik melalui penggunaan kata konkrit dan kata abstrak seperti ‘otot’, ‘sunyi’, ‘suara’ dan ‘bisu’.
Penanda melalui kata tersebut telah membuka tujuan sebenarnya kisah atau cerita sajak ini. Namun, yang masih menjadi persoalan kita adalah, kewajaran diksi ‘litmus’ dan konsep yang mendukung naratifnya dalam sajak ini. Hal ini menjadikan sajak ‘Litmus Lidah’ ini sajak yang bersifat absurd yang penuh ambiguiti dan kekaburan makna.
Secara rumusannya, ketiga-tiga sajak yang dibincangkan ini amat menarik kerana kemampuan penulisnya mewarnakan kaedah atau pendekatan pengkaryaan melalui gaya bahasa dalam aspek kata konkrit dan kata abstrak dengan penuh kesan.
Kemampuan itu bukan sahaja menampakkan ketiga-tiga penulis ini sudah menguasai penggunaan serta pemilihan kata tetapi juga boleh meneroka kewajaran penggunaan dan pemilihan kata tersebut secara munasabah.
Tahniah dan syabas kepada ketiga-tiga penulis ini. Teruslah menulis dan meneroka kepelbagaian gaya bahasa yang boleh mengetuskan versatil dalam kepengarangan dengan banyak membaca dan meneliti. Selamat berkarya.
Oleh Ja’afar Haji Hamdan