
MIRI: Karnival Sukan Media Sarawak (KASUMeS) bukan sahaja untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pengamal media, tetapi sebagai platform untuk mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan dan rekreasi.
Dunia pekerjaan pengamal media yang kadangkala penuh tekanan dan cabaran, aktiviti sebegini dapat menjadi medan untuk melepaskan tekanan, meningkatkan motivasi, dan membina semangat berpasukan.
Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, sebagai rakan kongsi strategik UKAS warga media tempatan telah banyak membantu kerajaan Sarawak dalam menyampaikan maklumat yang benar dan tepat sekali gus membentuk pemahaman masyarakat yang lebih baik terhadap dasar dan program kerajaan.
“UKAS amat menghargai dedikasi pengamal media yang sentiasa berusaha melaporkan berita dengan penuh integriti dan profesionalisme.
“Kerjasama erat antara UKAS dan media akan terus diperkukuh demi memastikan rakyat Sarawak mendapat maklumat yang sahih dan berkualiti, sejajar dengan aspirasi kita untuk membina masyarakat yang berinformasi dan berdaya saing.
“Saya berharap KASUMeS 2025 ini akan menjadi titik permulaan kepada hubungan yang lebih erat dan berdaya tahan antara UKAS dan warga media,” katanya.
Beliau berkata demikian pada â Majlis Perasmian Karnival Sukan Media Sarawak (KASUMeS) Zon Utara bersempena HAWANA Peringkat Sarawak 2025 di J Sport PLT Miri hari ini.
Tambahnya, kepada semua atlet media dari Zon Utara (Miri, Bintulu dan Limbang) adalah digalakkan untuk mengambil bahagian dengan penuh semangat kesukanan dan sportif.
“Jadikanlah karnival ini sebagai medan untuk menunjukkan bakat, kekuatan, dan semangat juang yang tinggi.
“Selain itu, manfaatkan peluang ini untuk berkenalan dan membina jaringan profesional yang lebih erat dalam kalangan warga media Sarawak,” tegasnya.
Hadir menyempurnakan majlis ialah Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee kim Shin.
Oleh Adum Liu