

DISITA… Antara barang kes disita Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak.
MIRI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menumpaskan aktiviti pengedaran dadah yang menggunakan perkhidmatan kurier dan merampas dadah jenis Methamphetamine seberat 4,080 gram yang dianggarkan bernilai RM130,560, pada 24 April lalu.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Norizan Yahya berkata, dalam kes pertama sepasukan pegawai kastam daripada Cawangan Narkotik Miri telah menjalankan pemeriksaan menggunakan Anjing Pengesan Dadah (APD) di sebuah syarikat perkhidmatan kurier di Eastwood Valley Industrial Park, Phase 3, Jalan Miri By Pass di sini sekitar 9.30 pagi.
“Anjing Pengesan Dadah (APD) telah mengesan satu kotak bungkusan yang disyaki mengandungi dadah berbahaya.
“Pemeriksaan rapi kemudiannya membawa kepada penemuan dua bungkusan teh yang mengandungi 2,040 gram dadah berbahaya jenis Methamphetamine dengan anggaran nilai RM65,280.00 yang dialamatkan ke sebuah rumah usang yang tidak berpenghuni,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Norizan berkata, dalam kes berasingan, pasukan pegawai kastam dari Unit Narkotik Miri turut membuat rampasan ke atas satu kotak bungkusan kiriman yang dikesan oleh Anjing Pengesan Dadah (APD) di premis yang sama.
“Pemeriksaan rapi yang dijalankan telah menjumpai dua bungkusan teh yang mengandungi 2,040 gram dadah berbahaya jenis Methamphetamine dengan anggaran nilai RM65,280, dicampur bersama produk makanan,” katanya.
Katanya, kesemua dadah berbahaya terbabit disita di bawah Seksyen 30(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, modus operandi ialah menggunakan perkhidmatan kurier udara dari Semenanjung Malaysia ke Wilayah Sarawak dengan menghantar bungkusan ke alamat yang tidak berpenghuni.
Oleh Liong Chai Ling