BINTANGOR: Keprihatinan terhadap kesihatan pengunjung Pesta Meradong 2026 diterjemahkan Kelab Anak Seni Meradong (KASM) menerusi inisiatif mengagihkan pelitup muka kepada orang ramai susulan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), semalam.
Pengagihan itu dilaksanakan sempena program anjuran KASM di Pesta Meradong malam tadi sebagai langkah pencegahan berikutan keadaan kualiti udara yang terjejas akibat jerebu.
Inisiatif tersebut membolehkan orang ramai yang berada di kawasan pesta mendapatkan pelitup muka, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mengambil langkah berjaga-jaga ketika berdepan keadaan kualiti udara yang kurang baik.


ORANG ramai yang hadir pada Pesta Meradong 2026 menerima pelitup muka yang diagihkan Kelab Anak Seni Meradong (KASM) susulan peningkatan Indeks Pencemar Udara (IPU). Foto KASM
Meskipun pelbagai aktiviti sempena Pesta Meradong 2026 terus berlangsung, aspek kesihatan dan keselamatan pengunjung tetap diberikan perhatian agar masyarakat mengambil langkah perlindungan sewajarnya.
Tindakan pantas KASM tersebut turut memperlihatkan peranan pertubuhan tempatan yang bukan sahaja menganjurkan aktiviti seni dan kemasyarakatan, malah peka terhadap setuasi semasa yang memberi kesan kepada komuniti.
Pengagihan pelitup muka juga menjadi mendekatan secara langsung untuk menggalakkan pengunjung lebih prihatin terhadap keadaan persekitaran dan menjaga kesihatan ketika berada di luar.
Usaha itu diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat supaya terus mengambil langkah pencegahan yang bersesuaian serta mengikuti perkembangan kualiti udara dari semasa ke semasa sepanjang keadaan jerebu berterusan.
Oleh Earl Anek





