Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Kasih Tidak Terputus
  • WBS

Kasih Tidak Terputus

Utusan Sarawak 3 hours ago


CERPEN SIARAN KHAS MINGGU PENULIS SINAR HARAPAN

dengan kerjasama Penjara Puncak Borneo, Kuching.


PADA suatu malam, aku duduk di birai katil sendirian. Aku termenung sambil teringat akan peristiwa yang tidak dapat aku lupakan. Ketika itu, aku masih berusia 14 tahun.

            “Akak cepatlah bersiap, ayah dah tunggu” kataku kepada ketiga-tiga kakakku. “Sabaq sat, lagi pakai tudung ini” balas kakakku dalam loghat utara.

Suasana di dalam perut kereta ketika itu sungguh sepi, masing-masing sibuk dengan telefon bimbit kecuali ayah yang tekun memandu. Kesepian itu tiba-tiba pecah apabila ayah mengutarakan pertanyaan kepada kami adik-beradik.

“Macam mana pelajaran di sekolah?”

Kami berempat terdiam kaku seketika.

Kakak sulungku menjawab “Alhamdulillah semua masih okey”.

Begitu juga dengan jawapan kakakku yang lain.

“Semua okey kecuali subjek Matematik dan Sains masih lemah” kataku.

Ayah memerhati seketika diriku dan menoleh semula ke hadapan tanpa sebarang jawapan.

Tiba di sebuah kedai makan. Kami sekeluarga duduk di tempat yang agak jauh daripada orang ramai.

“Hakim, Kim tak nak jadi macam kakak, bijak, selalu dapat anugerah… Hakim tak cemburu?”

Persoalan itu terus masuk ke dalam jiwa dan akalku. “Nak tu memang nak ayah, tapi Hakim dah banyak kali mencuba masih juga tak dapat.” balasku kepada ayah.

“Tak apalah, ibu tahu anak kesayangan ibu ni boleh, jangan putus asa tau sayang?” celah ibuku sambil mengusap lembut pipi kananku.

Perbualan kami berhenti seketika apabila seorang pelayan lelaki datang untuk mengambil pesanan. Kami sekeluarga memesan menu set keluarga sahaja pada malam itu. Ketika sedang menunggu pesanan sampai, aku menoleh ke seberang jalan raya dan terlihat sebuah keluarga yang menuju ke kedai yang sama. Sepasang suami isteri dan seorang budak kecil yang berusia kira-kira 12 tahun.

“Ha! Tengok aweklah tu.” Kata kakakku yang sulung.

Aku hanya tersenyum. “Bukan awek tapi orang yang macam pernah nampak.”

Syafiqa yang terdengar lalu bertanya dengan muka yang mengelirukan. “Siapa?”

“Entah macam pernah nampak je, tapi tak tahu kat mana. Tak apalah lupakan saja.”

Pesanan kami kemudian sampai dan  dihidang di atas meja. Kami menjamah dengan penuh selera tanpa sebarang perbualan. Perhatianku mula teralih apabila terdengar suara seorang budak kecil. Aku menoleh dan mencari-cari di mana suara itu datang. Rupa-rupanya suara itu datang dari budak kecil yang aku perhatikan tadi. Aku amati wajah comel budak itu. Sah memang mirip seperti wajahku cuma kulit budak itu lebih cerah dari aku.

Aku mengarahkan kakakku yang kedua untuk melihat budak kecil itu dan daripada pandangannya, dia menyatakan perkara yang sama seperti yang dikatakan oleh aku. Kami berdua mula rancak berbual mengenai budak itu. Tanpa disedari, perbualan kami telah mengganggu perhatian ahli keluarga yang sibuk menjamah makanan.

 “Apa yang rancak sangat bualnya tu?”

Aku berpandangan dengan kakak sebelum menjawab soalan ibu. “Tak ada apa-apa pun, cuma ternampak seseorang yang macam dikenali.” jawabku bersahaja sambil melemparkan senyuman kepada ibu.

Ibu mula mengerutkan dahinya, “Siapa orangnya itu?”

“Entahlah ibu, tak kenal pun tapi dia macam kembar Hakim tau, betul tak akak?” Aku tolak sedikit kakakku untuk mendapat sokongan.

Kak Atul terpinga-pinga lalu menganggukkan kepala.

Apabila selesai menghabiskan semua makanan, aku dan ibu pergi ke kaunter untuk membuat pembayaran. Tiba-tiba kami terserempak dengan wanita dan budak kecil yang kuperhatikan tadi. Beg tangan ibuku terjatuh apabila melihat wajah dua orang insan itu. Tidak semena-mena air mata ibuku mengalir di pipi.

Aku mengangkat semula beg tangan ibuku.

“Kenapa ibu menangis?”

Ibuku tidak menjawab apa-apa dan terus memeluk budak kecil itu. Aku hanya terdiam kaku.

Selepas ibu meleraikan pelukannya, dia terus memperkenalkan budak itu kepada aku. “Inilah adik kandung Hakim.”

Aku ternganga seluas-luasnya. Seperti ada pemberat yang tersangkut di daguku. Aku terus diam dan tidak terkata apa-apa.

“Dialah Haziq, adik kandung Hakim. Hakim berpisah dengan Haziq waktu Hakim masih kecil lagi.” sambung ibu apabila melihat aku masih membatu.

 “Tapi kenapa dia takde dengan kita selama ni?”

Ibu tersenyum. “Waktu Haziq lahir dulu, ibu terpaksa lepaskan dia dengan orang lain sebab waktu itu ibu dan ayah ada masalah kewangan, tak dapat nak jaga dan besarkan Haziq”.

Aku hanya mendiamkan diri dan menundukkan kepala.

Ibu berbual panjang dengan wanita itu sebelum kami meminta diri untuk pulang. Dalam perjalanan menuju ke kereta, fikiranku asyik terganggu dengan peristiwa yang baru berlaku. Aku bagaikan tidak dapat menerima apa-apa yang sedang berlaku dengan hubungan aku dan adik kandungku.

Ketika kami masuk ke dalam perut kereta, aku hanya mendiamkan diri. Kakak yang duduk di sebelahku mungkin perasan akan perlakuanku yang aneh. Dia asyik mengerling ke arahku, seperti mengesyaki ada sesuatu yang sudah terjadi pada aku. Namun dia hanya diam. Aku juga berharap kakak tidak akan bertanya apa-apa pada waktu ini. Kalau ada sekalipun, simpankan segalanya dalam kotak fikiran dan tanyakan semuanya ketika aku sudah lebih tenang, atau setidaknya apabila sampai di rumah.

Sewaktu dalam perjalanan, aku meminta ayah untuk berhenti di stesen minyak kerana aku hendak ke tandas. Sebaik sahaja kereta berhenti, aku bergegas menuju ke tandas dan menutup pintu dengan cepat. Apabila aku melihat wajahku dalam cermin, bebola mataku kemerahan dan air mataku mengalir dengan sendirinya.

“Adakah ini ujian ataupun takdir.” bisik hatiku yang sayu. Aku kembali ke kereta selepas selesai mencuci muka.

“Are you okay?”

 “Never cry, never in pain,” jawabku.

Syafiqa senyum tawar.

Aku pergi ke bilik bacaan, tempat aku dan adik-beradik selalu berkumpul. Ketika aku menyelak pintu bilik, kakak-kakakku sudah menunggu ketibaanku di sana. Sebaik sahaja aku melabuhkan punggung di sofa tunggal,

“Kenapa akak tengok adik macam tak okey lepas makan kat luar tadi, adik ada masalah ke?” tanya Atul sebaik sahaja aku duduk di atas sofa tunggal. Wajahnya kehairanan.

“Hm, nak kata ada masalah tu tak adalah, tapi adik macam tak tahu apa yang adik baru lalui ini betul ke tak?” jawabku sambil memicit kepala.

Atul mengerutkan dahi dengan jawapanku. “Apa yang adik jumpa sebenarnya?”

“Entahlah, adik sendiri pun tak percaya sebenarnya. Adik… adik jumpa adik Haziq.” 

Ketiga-tiga kakakku terus duduk di hadapanku dengan menongkatkan dagu masing-masing. Aku terus menyambung cerita tentang apa yang berlaku di kedai makan tadi.

“Adik sendiri pun terkejut sebenarnya, tapi lepas ibu terangkan, adik cuba faham perlahan-lahan.”

“Maksudnya, ibu tahu tentang semua ini? Ayah bagaimana? Ayah tahu tak?” soal Syafiqa bertubi-tubi.

“Ya, ibu tahu. Tapi kalau ayah tu, adik tak pasti. Kejap, akak tahu ke semua perkara ni? Akak tahu yang kita ada adik lagi?” soalku semula.

Belum sempat kak Atul menjawab persoalanku, pintu bilik terus diketuk dan dibuka. Wajah tua ibu terpacak di muka pintu. Kami terus diam membisu.

Pada keesokan harinya, kami sekeluarga bersarapan pagi bersama. Aku masih teringat dengan peristiwa semalam. Khayalan aku telah membuatkan selera makanku hilang.

“Hakim okey ke?” soal ayah memecah kesunyian di meja makan.

Kakak mencuit lenganku.

“Ha… ya… ya. Hakim okey.”

“Cuba jujur dengan ayah,” tambah ayahku lagi.

“Erm, sebenarnya semalam Hakim terserempak dengan Haziq, adik kandung Hakim.” balasku bersahaja.

“Jadi Hakim dah tahu semuanya? Hakim dah tahu kenapa Haziq dengan orang lain?” tanya ayah bertubi-tubi.

Aku hanya mengangguk.

Setelah beberapa hari berlalu, kami sekeluarga dikejutkan dengan berita yang sangat menyedihkan. Berita itu telah membuatkan jiwa ragaku jatuh ke bumi. Sungguh aku tak menyangka, baru lepas beberapa hari bertemu, Haziq telah pergi untuk selamanya. Kami dikhabarkan yang Haziq demam panas beberapa hari lalu sehingga ditahan di hospital.

Sesudah arwah selamat dikebumikan, aku meratapi batu nisan yang tertulis nama seorang yang tidak sempat aku benar-benar kenali. Anehnya, pertemuan yang sekejap itu pun telah menimbulkan rasa kasih dan sayang dalam hatiku untuknya.

“Kenapa adik tinggalkan abang macam ni? Adik tak sayangkan abang? Kita tak sempat pun nak bercerita tentang macam-macam. Banyak yang abang nak tunjukkan kepada adik. Kenapa… ” tak sempat aku habiskan kata-kata, air mata mengalir laju di pipiku.

Setelah beberapa lama aku duduk menangis di tepi pusara adik, kakakku, Hawa datang dari belakang.

“Sudahlah tu, yang pergi tu tetap akan pergi, yang masih bernyawa pula perlu teruskan hidup.” Pujuk kak Hawa yang agak tinggi orangnya.

Aku tidak membalas kata-kata itu. Aku terus mengangkat tubuh dan berlalu pergi. Ketika aku melangkah pergi, aku menoleh semula ke pusara suci itu. Aku terbayangkan wajah comel adikku yang mengukir senyuman kepadaku. Walaupun pertemuan hanya sementara, namun aku masih bersyukur telah dikurniakan seorang adik yang baik. Semoga adik dirahmati Allah. Selamat tinggal adik.

Selepas pemergian adik, aku teruskan kehidupan biasa. Ibu angkat kepada Haziq, iaitu Puan Hana meminta maaf kerana tidak dapat menjaga Haziq sebaik mungkin. Kami sekeluarga menerima takdir yang telah ditetapkan. Bagiku, walaupun perit tapi aku harus terima dengan hati yang terbuka.

Ketika usiaku mencecah 15 tahun, aku perlu mempersiapkan diri bagi ujian PT3.

“Hakim belajar betul-betul tau. Jadi macam kakak. Bijak, pandai, selalu dapat anugerah. Nanti dapatlah Hakim banggakan ibu dan ayah.” Setiap pagi, itulah pesanan ibu. Aku tahu ibuku ingin aku berjaya dan banggakan mereka.

Setibanya aku di sekolah, aku belajar dengan tekun tanpa menghiraukan apa-apa yang dilakukan oleh rakan sekelasku. Setiap ujian penggal, aku sentiasa mendapat nombor yang terbaik dalam kelas hinggakan aku mendapat gelaran pelajar terbaik. Apabila hampir PT3 menjelma, aku berusaha bersungguh-sungguh untuk cemerlang dalam PT3. Namun pada satu hari, pengetua sekolah mengumumkan bahawa PT3 telah dibatalkan. Ketika itu, harapan dan usahaku selama ini ibarat layang-layang yang terputus talinya. Selepas itu, aku tidak lagi tumpukan perhatian kepada pelajaran kerana aku menganggap usahaku sia-sia.

Perjalanan hidupku mula berubah sejak itu, lebih-lebih lagi setelah memasuki 16 tahun. Aku tidak lagi fokus pada pelajaran. Aku mula mengikut kawan-kawanku yang nakal. Pada tahun pertama, aku masih lagi menyembunyikan tandukku. Pada pertengahan tahun, aku mula berani melakukan masalah di sekolah. Aku membawa pelbagai barang larangan ke sekolah sehinggakan aku dibuang sekolah.

Apabila berita dibuang sekolah sampai di telinga orang tuaku, kedua-duanya marah dan sangat kecewa kepadaku.

“Apa nak jadi dengan Hakim ni? Kalau buat hal kecil tak apa, ni sampai kena buang sekolah bagai. Hakim nak apa sebenarnya?” tengking ayahku.

“Ibu kecewa dengan Hakim. Macam ni ke Hakim balas jasa ibu dan ayah?” luah ibuku.

Aku hanya mendiamkan dengan semua cemuhan yang diberikan.

Selepas beberapa minggu, aku mula bosan duduk di rumah. Aku pun terus mencari kerja di mana-mana pasar malam untuk mendapatkan duit poket. Aku dapat kerja di sebuah gerai yang menjual air. Aku bekerja dari petang hingga ke malam setiap hari. Perlakuanku yang sering keluar rumah dicurigai oleh ibu bapaku. Namun mereka hanya mendiamkan diri sahaja. Aku bekerja di situ sehingga umurku mencecah 17 tahun.

Dalam tempoh itulah, aku terjebak dengan kes jenayah yang melibatkan seorang perempuan. Pada bulan 11 tahun itu, aku telah ditahan di balai polis selama 4 hari. Kes ini bermula sejak aku berkenalan dengan seorang perempuan yang berumur 15 tahun. Pada asalnya aku hanya berkawan biasa dengan perempuan itu. Kawan-kawanku sering menghasutku untuk melakukan perkara yang tidak senonoh kepadanya. Aku pun terhasut dengan kata-kata kawanku lalu mengajak perempuan itu untuk melakukan perkara terkutuk. Kerana perasaan sayang, perempuan itu merelakan segalanya.

Pada malam aku bersamanya, kami telah ditangkap basah oleh ibu bapanya. Keadaan itu telah membuatkan bapanya naik angin dan memukul aku sekuat-kuatnya sehingga bibirku berdarah. Akhirnya, aku dilaporkan kepada pihak polis pada seawal pagi sebelum subuh. Tiba di balai polis, aku terus dimasukkan ke dalam lokap.

Aku dilepaskan pada hari kelima kerana pihak mahkamah memberikan aku peluang untuk memberikan perhatian dengan peperiksaan pada tahun depan. Menjejak usia 17 tahun, aku datang belajar seperti biasa di sekolah. Aku lakukan semua itu bagi menyedapkan hati ibu bapaku sahaja. Aslinya aku tidak mahu untuk belajar kerana aku telah terpengaruh dengan rakan-rakan sebayaku untuk terus menjadi nakal. Sebulan sekali, aku perlu pergi ke mahkamah untuk sesi perbicaraan.

Pada pagi yang cerah, seluruh pelajar tingkatan 5 berkumpul untuk diberi taklimat mengenai peperiksaan akhir iaitu SPM. Sejurus mendengar taklimat tersebut, aku terus mendiamkan diri sahaja.

“Ibu, tak lama lagi dah nak SPM.”

 “Kalau dah tahu nak SPM tu, belajarlah.”

balas ibu bersahaja.

            Aku pun terus beredar meninggalkan ibu berseorangan di ruang tamu dan masuk ke dalam bilik.

            Dua bulan sebelum SPM bermula, aku menumpukan sepenuh perhatian dengan pelajaran kerana aku ingin membanggakan ibu ayah semula. Dalam masa sebulan pertama itu, aku tidak sedikit pun terlepas daripada memegang buku. Pada bulan yang terakhir, aku diuji dengan pelbagai ujian yang menghalangku ke sekolah. Tapi aku tidak berputus asa walaupun sedikit.

            Selepas beberapa bulan SPM tamat, aku telah berjaya mendapat keputusan yang baik. Aku mendapat 2A 2B 1C dan 1D. Aku membawa keputusan itu ke rumah dengan jiwa yang sangat gembira. Sebaik sahaja di rumah, aku terus menyerahkan keputusan itu kepada kakakku. Kak Hawa yang melihatnya menangis kerana terharu dengan keputusanku. Kak Hawa berlari dari bilik bacaan terus masuk ke dalam bilik ibu dan memberitahu ibu tentang perkara itu. Ibu bergegas keluar untuk menemuiku.

“Ya Allah, ini yang ibu nak tengok dari Hakim. Ibu tak percaya Hakim dapat buktikan yang Hakim dapat banggakan ibu. Ibu betul-betul bangga dengan Hakim.” Katanya dalam esakan sambil memelukku.

“Hakim minta maaf dah lukakan hati ibu. Hakim tak mampu nak bagi lebih dengan ibu. Hakim minta maaf.”

Pada hari perbicaraanku, aku bagaikan tidak dapat merasakan lututku kerana aku telah dijatuhkan hukuman selama 3 tahun di Henry Gurney. Ketika di dalam mahkamah, hati aku sungguh sayu apabila mendengar tangisan ibu di belakangku. Sebaik keluar dari bilik mahkamah. Aku berjumpa ibuku.

“Ibu, sekali lagi Hakim nak minta maaf.”

“Ya, ibu maafkan Hakim, tapi Hakim jaga diri tau dekat sana. Jangan buat perkara yang tak betul. Jangan berkawan dengan orang yang tak betul tau. Ibu sayangkan Hakim. Kami semua sayangkan Hakim.”

Keesokan harinya, mulalah perjalanan aku dari balai polis ke destinasi seterusnya, iaitu Sekolah Henry Gurney. Aku percaya, dengan izin dan berkat doa ibu ayah, aku akan selamat sampai ke destinasi kejayaan dan destinasi harapan yang dicita-citakan.  

Oleh Q Hakeem

Continue Reading

Previous: Puisi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.