Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Kasih seorang datuk, Orai sertai GoBald 2026 kenang cucu tersayang
  • TEMPATAN

Kasih seorang datuk, Orai sertai GoBald 2026 kenang cucu tersayang

Utusan Sarawak 5 hours ago
RAKAM kenangan para peserta, keluarga pesakit dan penyokong SCCS berkumpul bersama semasa majlis pelancaran GoBald 2026 di Pejabat SCCS, semalam. Foto Adele Rissa 

KUCHING: Tindakan mencukur rambut bukan sekadar simbolik, sebaliknya menjadi tanda kasih sayang dan kenangan mendalam buat seorang datuk terhadap cucu tersayang yang telah pergi.

Bagi Orai Goper, 64, penyertaannya dalam kempen GoBald bukan hanya untuk menyokong usaha membantu kanak-kanak pesakit kanser, tetapi juga sebagai cara mengenang cucunya, Edeva, yang meninggal dunia akibat kanser otak pada usia lima tahun tahun lalu.

Menurutnya, beliau mula menyertai GoBald ketika cucunya masih hidup dan sejak itu terus komited sebagai tanda sokongan kepada perjuangan kanak-kanak yang menghidap penyakit berkenaan.

ORAI Goper, ketika ditemui media selepas majlis pelancaran GoBald 2026 anjuran Persatuan Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS), di Kuching, semalam. Foto Adele Rissa

“Saya menjaga cucu sepenuh masa di rumah sebelum dia dimasukkan ke hospital. Kami berulang-alik ke hospital untuk memastikan segala keperluannya mencukupi.

“Selepas dibenarkan pulang, dia sempat tinggal di rumah beberapa bulan sebelum penyakitnya datang semula,” katanya ditemui media selepas majlis pelancaran GoBald 2026 anjuran Persatuan Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS), di sini, semalam.

Tambahnya, keadaan menjadi semakin kritikal apabila cucunya dimasukkan ke hospital buat kali kedua, dan doktor memaklumkan bahawa sel kanser telah merebak ke otak sehingga tiada lagi rawatan yang mampu menyelamatkannya.

“Kami sudah bersedia selepas dimaklumkan doktor. Apa yang kami mampu lakukan hanyalah berikhtiar dan berdoa.

“Saya sendiri cuba memujuknya dengan mencukur rambut di rumah untuk mengambil hatinya,” ujarnya sebak.

Cucunya itu menghembuskan nafas terakhir pada usia lima tahun.

Orai berkata, walaupun kehilangan itu amat sukar diterima, beliau reda dengan ketentuan dan terus menjadikan penyertaan dalam GoBald sebagai satu bentuk penghormatan.

ORAI Goper (kanan) dan Fidelis George (kiri) mencukur rambut sebagai tanda solidariti dalam menyokong kanak-kanak pesakit kanser sempena pelancaran GoBald 2026 di Pejabat SCCS, semalam. Foto Adele Rissa

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi bahawa sepanjang rawatan, cucunya hanya bergantung kepada tiub untuk makan, minum dan mengambil ubat.

Katanya lagi, pihak SCCS banyak membantu mereka sekeluarga termasuk memberi peluang kepada cucunya merasai pengalaman ke sekolah walaupun hanya untuk tempoh singkat.

“Saya juga bawa cucu saya keluar bersiar-siar, termasuk ke pantai dan pusat beli-belah.

“Walaupun keadaannya lemah, kami cuba memberikan yang terbaik agar dia dapat merasai sedikit kegembiraan,” katanya.

Mengulas mengenai peranan SCCS, Orai menyifatkan pertubuhan itu sebagai sangat prihatin kerana membantu tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

Beliau berkata, keluarganya tidak mampu membalas jasa SCCS dari segi kewangan, justeru memilih untuk menyokong kempen GoBald sebagai tanda penghargaan.

“Saya harap masyarakat di luar sana tidak segan untuk mendapatkan bantuan daripada SCCS jika berdepan masalah berkaitan kanser. Mereka sentiasa bersedia membantu sedaya upaya,” katanya.

Ditanya sama ada akan terus menyertai GoBald pada masa akan datang, Orai berkata beliau tidak akan teragak-agak untuk menyertai semula sekiranya diberi peluang.

“Kalau dijemput, saya akan datang lagi. Rambut boleh tumbuh semula, tetapi melihat penderitaan kanak-kanak seperti ini memang sangat menyentuh hati,” katanya.

Oleh Adele Rissa

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Swinburne Sarawak hidupkan semangat Ramadan melalui kempen amal dan bazar
Next: Operasi Semut di Bario bukan sekadar peringatan tetapi inspirasi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.