
PETRA JAYA: Lebih setengah tahun sudah Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang kembali ke rahmatullah, namun kasih sayang Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, terhadap isteri tercinta kekal menaut erat di lubuk hatinya.
Pemergian insan tersayang yang telah menjadi pendamping hidup selama 48 tahun itu tidak pernah memadamkan ikatan cinta dan setia. Sebaliknya, ia terus hidup dalam setiap doa, ingatan dan langkah Premier Sarawak yang setia mengenang jasa serta kasih seorang isteri.
Hampir setiap pagi Jumaat, sebelum memulakan tugasan harian, Premier Sarawak akan singgah sebentar di pusara Allahyarhamah. Di situlah beliau menitipkan doa, sebagai pengubat rindu kepada wanita yang telah berkongsi suka dan duka kehidupan bersamanya sepanjang hampir lima dekad.

Pada Jumaat lalu, Premier Sarawak menziarahi pusara Allahyarhamah di Tanah Perkuburan Islam Semariang dengan ditemani anaknya, Dayang Norjihan. Ziarah tersebut mencerminkan keutuhan nilai kekeluargaan serta kesinambungan kasih dan penghormatan terhadap insan yang amat dikasihi.
Suasana ziarah berlangsung dalam keadaan tenang, menggambarkan ketulusan cinta seorang suami yang tidak pernah luntur walaupun dipisahkan oleh jarak dunia dan akhirat. Ia menjadi simbol bahawa kasih sejati tidak berakhir dengan perpisahan, sebaliknya terus hidup dalam doa, setia dan kenangan yang kekal abadi.