Biasanya seseorang pelukis akan berkarya dengan pelbagai media lukisan seperti cat, arang, pensel, pensel warna, pen dan sebagainya tetapi pelukis yang satu ini pula menggunakan bahan-bahan makanan seperti biji-biji kopi, kacang hijau, kuaci dan spageti.
Hasilnya pula luar biasa kerana karya dari bahan-bahan ini tidak kalah seninya berbanding media lukisan lain, malah menjadikan ia unik dan lain daripada yang lain.
Inilah keistimewaan karya Michael Foo Chee Ming, 39, seorang pelukis sepenuh masa dan guru seni dari Ayer Itam, Pulau Pinang yang tular karyanya di laman sosial Facebook baru-baru ini.
Foo telah memuat naik potret Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dihasilkan dari biji-biji kopi dan potret Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato’ Seri Noor Hisham Abdullah yang dihasilkan dari biji-biji kacang hijau dan biji-biji kopi.
Selepas itu pula, Foo kemudian menghasilkan potret seniman agung Tan Sri P. Ramlee, juga dari biji-biji kopi dan terbaharu pula, menggunakan spageti dan sosnya untuk menghasilkan potret seorang wanita cantik.
Berkongsi pengalamannya menghasilkan karya-karya ini dengan Utusan Sarawak, Foo berkata idea untuk berkarya dengan bahan makanan ini timbul selepas beliau terlibat di dalam satu pertandingan kuaci pada April lalu.
“Saya ingin mencipta satu unikan yang unik , namun tanpa disangka lukisan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia yang dihasilkan dari kuaci itu menjadi tular. Dari situ saya buat lagi karya lain seperti Tan Sri P. Ramlee menggunakan biji-biji kopi,” kata beliau.
Bercerita lebih lanjut tentang karyanya ini, Foo berkata beliau memilih potret untuk karyanya kerana imej lebih ‘menjadi’ , selain mempunyai makna tersendiri untuk dirinya.
“Sebagai contoh, saya melukis potret Dr. Nor Hisyam kerana saya ingin mendedikasikan penghargaan dan ucapan terima kasih di atas pengorbanan dan jasa beliau kerana menjadi wira untuk Malaysia ketika berdepan dengan pandemik Covid-19 ini,” kata beliau.
Sebelum melukis, beliau akan mencari gambar-gambar subjek yang sesuai dan kemudian melakarnya di atas kertas A3. Selepas itu, beliau akan melekatkan bahan-bahan lukisannya itu satu persatu di atas kertas dengan gam.
“Purata masa antara lapan hingga 10 jam diperlukan untuk menyiapkan satu-satu karya,” kata Foo yang telah melukis sejak usia lapan tahun dan menajamkan ilmunya dari pemerhatian sehari-hari dan pengalaman sendiri.
Ditanya bahan mana yang sukar untuk digunakan, Foo berkata setiap bahan ada kekangannya yang tersendiri. Biji-biji kopi dianggapnya paling sukar kerana saiznya besar, manakala biji-biji kacang hijau mengambil masa yang agak lama kerana terlalu halus.
Selepas berkarya dengan biji-biji kopi, kacang hijau dan kuaci, sasaran beliau seterusnya adalah potret penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza dengan menggunakan biji-biji saga.
Foo akan menyimpan setiap karya, malah berharap dapat menyerahkan sendiri karya uniknya ini kepada si empunya wajah yang dipotretnya.
“Saya amat berharap dapat berjumpa dengan Dato’ Seri Nor Hisyam dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyerahkan potret-potret mereka. Sambil itu, saya akan terus berkarya dan selepas ini mungkin saya akan memfokus kepada potret bintang-bintang terkenal,” kata beliau.
Oleh HAINI DARANI