Minat mendalam dalam bidang seni sejak di bangku sekolah, kini menjadi punca rezeki kepada seorang kerani kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak untuk menghasilkan lukisan 3D, cenderamata 3D dan aneka kraf 3D yang mencecah sehingga ribuan ringgit.
Marzuki Jamilah, 50, berkata bakat seninya mula dihidu ketika dia mula melukis kartun sewaktu berusia 12 tahun.
“Saya mula meminati bidang seni ketika saya mula-mula melukis satu gambaran kartun ketika usia 12 tahun dan telah mendapat naib johan ketika saya menyertai Pertandingan Melukis Peringkat Negeri Sarawak anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sejak itu, saya terus mengasah bakat yang ada untuk diketengahkan kepada orang ramai,” katanya yang telah berkecimpung dalam bidang ini selama 38 tahun.
Antara hasil seni yang beliau hasilkan ialah lukisan berbentuk 3 Dimensi (3D), cenderamata 3D dan aneka kraf 3D.
“Kesemua hasil seni saya jual bermula dengan harga RM50 hinggan RM5, 000.
“Ada juga hasil seni saya ditempah untuk dihadiahkan kepada golongan kenamaan seperti Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, antara pertandingan yang pernah disertainya ialah Pameran Uptown Cat 2021 anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) yang mana beliau telah merangkul johan dalam pertandingan tersebut. Di samping itu, Marzuki turut menyertai Anugerah Reka Bentuk Kraf Peringkat Kebangsaan.
“Disebabkan saya tidak mempunyai latar belakang seni, saya selalu mendapat tunjuk ajar daripada seorang pelukis antarabangsa, Pak Yusof Gajah.
“Beliau selalu membantu saya dan anak, Ahmad Syahrol,23, untuk mendalami bidang ini,” ujarnya.
Ditanya mengenai impiannya, Marzuki memberitahu dia mempunyai impian untuk memiliki galeri peribadi bagi mempamerkan hasil seninya.
“Saya juga berharap agar Kerajaan Negeri mengadakan program atau takwim tahunan untum penggiat seni tampak beraktiviti (selain kegiatan persatuan atau individu) itu sendiri.
“Selain itu, ada tempat dan ruang tetap untuk berpameran (tempat yang strategik) dan sentiasa ada aktiviti setiap bulan,” katanya.
Tambahan itu, katanya, kerajaan perlu sediakan tempat khas percuma atau berbayar untuk anak seni memasarkan hasil karya mereka.
Oleh NUR AIN OTSMAN