
KUCHING: Lukisan berinspirasikan warisan Borneo dan simbol etnik memenuhi ruang Wesberly Galleria sempena Pameran Seni Tahunan ke-40 Persatuan Pelukis Sarawak (SAS) bertemakan ‘Warisan Dijana Semula’ yang berlangsung dari 17 Oktober hingga 16 November ini.
Menampilkan 44 pelukis tempatan dan antarabangsa, pameran ini meraikan empat dekad perjalanan seni SAS yang terus mengangkat warisan budaya sebagai sumber ilham dan identiti kreatif negeri ini.
Presiden SAS, Sebastian Jong menjelaskan bahawa tema ‘Warisan Dijana Semula’ membawa mesej bahawa seni bukan sekadar cerminan masa lalu, sebaliknya kekuatan dinamik yang menghidupkan semula tradisi dengan sentuhan moden.

Melalui karya yang dipamerkan, pameran itu bukan sahaja meraikan warisan, tetapi turut mentafsirkannya semula dalam konteks dunia moden.
Pameran itu juga menggambarkan bagaimana budaya tempatan terus berkembang dan memberi inspirasi kepada generasi baharu.
Antara karya yang menarik perhatian ialah siri lukisan berasaskan corak tekstil etnik, potret masyarakat luar bandar, serta karya kontemporari yang menggabungkan elemen digital dan media campuran menzahirkan percantuman antara tradisi dan teknologi.

Kurator pameran, Dr. Mohd Faizuan Mat, berkata karya yang dipilih memaparkan pelbagai gaya dan pendekatan, daripada realisme halus hingga ke interpretasi abstrak yang berani.
Jelasnya, ‘Warisan Dijana Semula’ bukan sekadar dokumentasi seni, tetapi satu dialog antara generasi pelukis yang berbeza.
Selain ruang pameran utama, pelawat turut berpeluang menyertai bengkel interaktif hujung minggu, sesi bual santai bersama pelukis serta pelancaran buku khas memperingati 40 tahun perkembangan seni di Sarawak.

Penganjuran kali ini turut menerima sokongan Majlis Seni Sarawak (MSS), yang memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan kegiatan seni visual di negeri ini.
Dengan gabungan bakat baharu dan pelukis berpengalaman, ‘Warisan Dijana Semula’ menyerlah sebagai bukti bahawa seni Sarawak bukan sekadar diwarisi tetapi terus dihidupkan dan diperbaharui oleh tangan generasi kreatif masa kini.
Oleh Adele Rissa