
SARATOK: Karnival Sukan dan Ko-Kurikulum Kolej Tingkatan Enam Peringkat Negeri yang berlangsung di Kolej Tingkatan Enam Saratok bermula hari ini menghimpunkan hampir 900 peserta terdiri daripada atlet, guru pengiring dan jurulatih dari 15 sekolah serta dua kolej tingkatan enam seluruh Sarawak.
Majlis perasmian karnival tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik.
Dalam ucapannya, Friday menekankan kepentingan penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti sukan dan kokurikulum sebagai pelengkap kepada pembangunan diri secara menyeluruh.
“Penyertaan dalam program sebegini bukan sahaja memperkaya pelajar dengan ilmu pengetahuan, tetapi juga membentuk sahsiah, jasmani dan kemahiran yang menjadi nilai tambah apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa golongan pelajar merupakan aset penting dan harapan negeri sebagai tenaga kerja yang bakal memacu pembangunan Sarawak ke arah wilayah maju dan makmur menjelang 2030.
“Pendidikan dan pembangunan insan merupakan antara teras utama dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030),” tambah beliau.
Karnival yang dianjurkan oleh Kolej Tingkatan Enam Saratok dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Saratok ini akan berlangsung selama tiga hari sehingga 16 Oktober, melibatkan pelbagai acara sukan dan aktiviti kokurikulum bertujuan mencungkil bakat pelajar di peringkat negeri.
Turut hadir dalam majlis tersebut, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak, Dr. Les Met, Pegawai Pendidikan Daerah Saratok, Awet Gapor, Pengetua Kolej Tingkatan Enam Saratok, Omar Sharif dan wakil Pegawai Daerah Saratok, Hatta Adenan.
Oleh Adi Safarman