SIBURAN: Karnival Siburan terus diperkasa sebagai medan mempromosi produk, makanan dan warisan budaya tempatan, di samping membuka ruang kepada usahawan serta peniaga kecil meningkatkan pendapatan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, penganjuran karnival berkenaan sejak 2024 turut memberi peluang untuk memperkenalkan Siburan kepada masyarakat dari luar kawasan.
Menurutnya, keunikan produk, makanan dan budaya masyarakat setempat perlu diketengahkan secara berterusan supaya Siburan lebih dikenali, sekali gus memastikan komuniti tempatan mendapat manfaat daripada perkembangan karnival berkenaan.
“Kita mahu Siburan dikenali, begitu juga produk tempatan, makanan dan budaya masyarakatnya.
“Paling penting, kita mahu rakyat tempatan menjadi penerima manfaat utama daripada perkembangan dan kemeriahan karnival ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Siburan 2026 di perkarangan Pusat Beli-belah Eastern, di sini, semalam.
Beliau berkata, sebanyak 28 gerai makanan dan minuman serta sembilan gerai barangan kering disediakan pada edisi tahun ini, sekali gus memberi peluang kepada peniaga tempatan memperkenalkan dan menjual produk masing-masing kepada pengunjung.
Katanya, penganjuran secara berterusan juga berpotensi menjadikan Karnival Siburan sebagai acara tahunan yang lebih dikenali dan mampu menarik kehadiran pengunjung dari seluruh Sarawak.
“Apabila lebih ramai pengunjung datang, kita berharap manfaat ekonominya turut dirasai masyarakat setempat, khususnya peniaga dan usahawan yang mengambil bahagian,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Siburan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola, Ranum Bari berkata, beberapa acara utama dalam penganjuran tahun ini terpaksa dibatalkan susulan keadaan kualiti udara dan jerebu bagi mengutamakan keselamatan serta kesihatan orang awam.
Beliau berkata, antara acara yang tidak dapat diteruskan ialah Konsert Tanju di Ribo Jewa Buran, Bengkel Pemantapan Komuniti Masyarakat Kampung (KMKK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Pertandingan Kumpulan Muzik, malam kemuncak Ratu Siburan 2026 serta Larian Santai Karnival Siburan.
“Kita perlu akur dengan keadaan dan arahan semasa. Walaupun beberapa program terpaksa dibatalkan, kita bersyukur kerana majlis perasmian masih dapat diteruskan,” katanya.
Hadir sama, ADUN Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Damen Rejek serta Residen Bahagian Serian, Mackos Sibong.





