
SELANGAU: Karnival Selangau 2025 Edisi Ke-7 mencerminkan semangat pembangunan luar bandar berteraskan rakyat, menjadikan pekan ini sebagai pusat pertumbuhan baharu di wilayah tengah Sarawak.
Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Sempurai Petrus Ngelai berkata, ini adalah hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan di bawah pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, penganjuran karnival berkenaan bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi simbol kekuatan dan kerjasama masyarakat luar bandar yang mencerminkan semangat sebenar pembangunan berasaskan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat.
“Selangau kini berasa bertuah kerana sedang menyaksikan gelombang pembangunan yang pesat hasil pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo, peningkatan jaringan ekonomi luar bandar serta pelbagai program pembangunan oleh kerajaan negeri.
“MDLBS sentiasa komited untuk menyokong segala pembangunan ini melalui perancangan bandar yang mampan, peningkatan mutu perkhidmatan majlis serta penyediaan ruang niaga yang lebih strategik kepada penduduk tempatan.
“Kita mahu Selangau menjadi pekan yang bersih, ceria dan berdaya saing, namun tetap mengekalkan nilai komuniti serta keharmonian yang menjadi kebanggaan kita bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap mewakili Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta merasmikan karnival tersebut malam tadi.
Sempurai menggesa seluruh penduduk Selangau, khususnya golongan belia dan usahawan muda, agar merebut peluang yang ada untuk menonjolkan produk, idea serta kreativiti tempatan menerusi penganjuran karnival tersebut.
“Karnival ini bukan hanya pentas hiburan, tetapi juga wadah yang menyatukan pelbagai kaum dan lapisan masyarakat, memperkukuh semangat muhibah serta mencungkil bakat tempatan dalam bidang seni, sukan dan keusahawanan,” kata berliau.
Selain itu, katanya lagi, penganjuran karnival turut membuka peluang kepada usahawan kecil dan anak muda tempatan untuk menceburi bidang perniagaan melalui penyertaan di gerai-gerai jualan yang disediakan.
“Secara tidak langsung, komuniti tempatan dapat memperkenalkan identiti serta budaya unik masyarakat Selangau yang menjadi kebanggaan kita semua,” ujarnya.
Turut hadir Pegawai Daerah Selangau merangkap Penasihat Karnival Selangau 2025, Yalin Assan, Timbalan Pengerusi MDLBS, Kaunselor Wong Ching Yong, dan Setiausaha MDLBS, Ng Siang Wei.
Oleh Akun Giman