
BEKENU: Pusat Khidmat Wakil Rakyat N.71 Bekenu akan menganjurkan Karnival Rindok Ati selama lima hari bermula 15 hingga 19 Julai ini dengan pelbagai acara menarik yang dijangka menarik kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung.
Ketua Gerakan Wanita Kaunselor Hadijah Sheikh Kasim berkata, karnival itu akan menampilkan pelbagai pertandingan.
“Antara pertandingan ialah ngajat lelaki dan wanita, Raja dan Ratu Batik, bermukun, membuat kuih tradisional seperti lenggang dan penyaram, memasak mi segera, badminton serta melastik,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Pengelola berkata, pelbagai acara akan berlangsung pada waktu pagi dan malam di sekitar Dewan Masyarakat Bekenu dan Arena Subis.
Selain itu, gerai jualan turut disediakan bagi memberi peluang kepada usahawan tempatan mempromosikan serta menjual produk masing-masing kepada pengunjung.
Menurutnya, penganjuran Karnival Rindok Ati bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat tempatan dan pengunjung dari luar kawasan, di samping memeriahkan suasana komuniti melalui aktiviti kebudayaan, sukan dan keusahawanan.
Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan Karnival Rindok Ati yang dijangka menjadi antara acara komuniti terbesar di kawasan Bekenu tahun ini.
Oleh Adum Liu