
BINTULU: Pihak Hospital Bintulu menjemput orang ramai memeriahkan Karnival Kesihatan Bintulu 2025 yang akan berlangsung di Boulevard Shopping Mall di sini pada 11 dan 12 Oktober depan.
Menurut satu kenyataan, karnival anjuran Kementerian Kesihatan itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan melalui pelbagai aktiviti interaktif dan pemeriksaan percuma.
Karnival dua hari itu akan bermula pada Sabtu, 11 Oktober dari 10.00 pagi hingga 6.00 petang, manakala pada Ahad, 12 Oktober, ia akan berlangsung dari 10.00 pagi hingga 2.00 petang. Kemasukan adalah percuma.
Antara aktiviti menarik yang ditawarkan termasuk saringan kesihatan percuma, konsultasi dan khidmat nasihat daripada pelbagai jabatan pakar, pameran kesihatan, serta kuiz interaktif dan permainan berhadiah.
Pihak Hospital Bintulu menggalakkan seluruh warga Bintulu dan kawasan sekitarnya hadir bersama keluarga untuk mendapatkan maklumat kesihatan dan memupuk semangat komuniti sihat.
Oleh Carolyne Utih