MUKAH: Program Karnival Kerjaya Peringkat Bahagian Mukah 2020 telah dilaksanakan dengan dua konsep temu duga iaitu secara bersemuka dan temu duga secara virtual.
Menurut Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Sarawak, Awang Raduan Awang Omar, temu duga secara virtual yang diketengahkan adalah menggunakan aplikasi Zoom.
“Penggunaan aplikasi zoom memerlukan pencari kerja ditemu duga oleh majikan melalui panggilan video.
“Ini bertujuan bagi mengurangkan kesesakan di tapak program namun masih lagi memberi peluang kepada pencari kerja untuk ditemu duga,” ujarnya.
Tambahnya, program yang disertai oleh lapan majikan sektor swasta itu menawarkan sejumlah 1,372 kekosongan jawatan.
“Sebanyak 225 kekosongan daripada jumlah keseluruhan tersebut merupakan kekosongan untuk calon siswazah manakala sebanyak 1,147 kekosongan pula adalah jawatan bagi kategori calon bukan siswazah,” katanya.
Antara majikan yang mengadakan temu duga secara bersemuka pada program itu ialah Greenpro Farm Sdn. Bhd., E Green Venture Sdn. Bhd., Sinong Pelita Oil Mill Sdn. Bhd., dan Sarawak Oil Palms Berhad, manakala, Press Metal Sarawak Sdn. Bhd., Top Glove Sdn. Bhd., Ambang Wira Sdn. Bhd. dan Agensi Pekerjaan Yukim Sdn. Bhd. secara virtual.
“Program in bukan hanya melibatkan penyertaan majikan dari Sarawak malah penyertan majikan dari Semenanjung Malaysia.
“Pelbagai aktiviti yang turut dijalankan sepanjang program ialah aktiviti pendaftaran pencari kerja secara dalam talian di portal JobsMalaysia dan khidmat nasihat perburuhan,” tambahnya.
Awang Raduan juga mendedahkan program kali ini adalah merupakan yang kelima dianjurkan oleh JabatanTenaga Kerja Sarawak pada tahun ini.
“Pada kali ini ia turut melibatkan penyertaan Bank Negara Malaysia (Pejabat BNM Kuching). Agensi kaunseling dan pengurusan kredit (AKPK) serta penyedia perkhidmatan kewangan seperti bank dan agensi kewangan yang lain,” ujarnya.
Tambah beliau, penyertaan strategik dari sektor kewangan ini adalah sempena dengan kempen pembayaran balik pinjaman pasca moratorium, yang mana pendekatan proaktif diambil untuk mendekati masyarakat, khususnya yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 untuk mendapatkan moratorium yang berakhir pada 30 September nanti.
Destinasi lain hingga Oktober ini adalah di Betong, Bintulu, Sarikei, Sri Aman, Miri, Serian, Lawas dan Kuching.
Ketika ditemui media, Awang Raduan menyatakan bahawa program karnival kerjaya ini memang terjejas dari segi jumlah kehadiran pencari pekerjaan.
“Ini kerana kita terpaksa mengikut prosedur operasi standard (SOP) iaitu tidak melebihi 250 orang dan sebagainya.
“Untuk kehadiran secara umum sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, purata kehadiran ialah di antara 2,000 dan 3,000 orang.
“Terdahulu, penyertaan tertinggi di Sarawak adalah di Miri yang dihadiri oleh seramai 7,000 pengunjung.
“Dari segi penawaran kekosongan jawatan, kami memang mengharapkan 100 peratus, namun biasanya hanya 40 hingg 50 peratus yang diambil oleh pemohon,” ujar Awang Raduan.
Oleh Henry B Siyu