LUBOK ANTU: Karnival Jom Sihat anjuran Panel Penasihat Klinik Kesihatan Lubok Antu menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan serta amalan gaya hidup sihat.
Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi berkata, program seumpama itu wajar diteruskan secara berterusan kerana mampu mendekatkan masyarakat dengan maklumat berkaitan kesihatan serta perkhidmatan yang disediakan agensi berkaitan.
Menurutnya, sepanjang karnival berlangsung, pelbagai aktiviti bermanfaat diadakan termasuk empat sesi ceramah kesihatan yang memberi pendedahan kepada peserta mengenai aspek penjagaan kesihatan.
Selain itu, pemeriksaan kesihatan asas turut disediakan bagi membolehkan masyarakat membuat pemantauan awal terhadap tahap kesihatan masing-masing.

“Program ini menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan serta amalan gaya hidup sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Jom Sihat anjuran Panel Penasihat Klinik Kesihatan Lubok Antu di Rumah Lagan, Bulo, Lubok Antu, semalam.
Karnival berkenaan turut menyediakan ruang pameran daripada Klinik Kesihatan Lubok Antu, Majlis Daerah, Proton, Toyota dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Penyertaan pelbagai agensi berkenaan memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan maklumat, khidmat nasihat serta mengenali perkhidmatan yang ditawarkan kepada komuniti setempat.
Pada majlis sama, beberapa peruntukan turut diumumkan bagi menyokong pembangunan fizikal serta aktiviti komuniti di kawasan berkenaan.
Antaranya termasuk peruntukan RM150,000 di bawah RTP 2027 bagi kerja-kerja baik pulih, selain RM25,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Turut disalurkan ialah RM10,000 kepada Biro Wanita dan RM10,000 kepada Panel Penasihat Klinik Kesihatan Lubok Antu, sekali gus membuktikan komitmen berterusan dalam memperkukuh kemudahan serta aktiviti kemasyarakatan.
Roy berharap penganjuran program seperti itu dapat diteruskan bagi memperkukuh kesedaran mengenai kepentingan kesihatan, selain mengeratkan kerjasama antara komuniti, agensi kerajaan dan pelbagai pihak demi meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.
Turut hadir Pakar Perubatan Kesihatan Keluarga Klinik Kesihatan Lubok Antu, Dr Johny Chan Junin Shing dan Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Lubok Antu, Counsellor Getty Chua Peng Hia.
Oleh Adi Safarman




