Karnival Berbasikal Layar: Lima laluan utama Betong ditutup Ahad ini

Facebook
WhatsApp
NOTIS penutupan beberapa laluan utama sempena Karnival Berbasikal Layar Edisi Ke-8 2026 yang berlangsung pada Ahad ini. Foto IPD Betong

BETONG, 8 Oktober: Pengguna jalan raya di sekitar Betong dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal susulan penutupan beberapa laluan utama sempena Karnival Berbasikal Layar Edisi Ke-8 2026 yang berlangsung pada Ahad ini.

Ketua Polis Daerah Betong, DSP Wan Mohamad Ali Wan Malek, dalam kenyataan media hari ini berkata, beberapa jalan utama akan ditutup sementara bagi memastikan keselamatan peserta serta kelancaran pergerakan sepanjang program berlangsung.

Program berkenaan dijadualkan berlangsung dari esok sehingga Ahad ini bertempat di RTC Layar, Betong, dengan penutupan laluan dilaksanakan pada Ahad, dari 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Menurut kenyataan itu, antara laluan yang ditutup sepenuhnya ialah Lebuh Raya Pan Borneo bermula di Simpang Layar (KM369.6) hingga Jejambat Betong (KM358.6).

Penutupan turut melibatkan laluan dari Jejambat Betong (KM358.6) melalui Jalan Betong A (Hospital) hingga Simpang 4 Lampu Isyarat (KM2.0).

Selain itu, Simpang 4 Lampu Isyarat Betong (KM2.0) melalui Jalan Bebangai hingga Simpang Lebuh Raya Pan Borneo Jalan Padeh/Grai (KM363.9) turut ditutup sepenuhnya.

Laluan simpang Lebuh Raya Pan Borneo Padeh/Grai (KM363.9) menuju ke pusingan-P Ulu Paku/Bukit Saban (KM377.4) serta laluan pusingan-P Simpang Debak (KM393.6) hingga pusingan-P Simpang Ulu Paku/Bukit Saban (KM377.4) juga terlibat dalam penutupan berkenaan.

Polis menasihatkan pengguna jalan raya yang merancang perjalanan di kawasan terlibat supaya menggunakan laluan alternatif yang bersesuaian, mematuhi arahan anggota PDRM dan petugas kawalan lalu lintas serta tidak memasuki laluan yang telah ditutup.

Orang ramai turut diminta tidak berhenti atau meletakkan kenderaan di laluan terlibat selain memberikan kerjasama sepenuhnya kepada petugas keselamatan bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.

Penutupan jalan akan dibuka semula selepas laluan disahkan selamat dan keadaan trafik mengizinkan. Orang ramai juga dinasihatkan merancang perjalanan masing-masing bagi mengelakkan sebarang kesulitan atau kelewatan sepanjang tempoh penutupan.

Oleh Adi Safarman