
KUCHING: Golongan belia di Sarawak bukan sekadar penerima manfaat dasar kerajaan, tetapi menjadi pemacu utama dalam pembangunan dan kemajuan negeri menuju masa depan yang lebih gemilang.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata lebih sejuta belia berusia antara 15 hingga 40 tahun di Sarawak memiliki aset modal insan yang luar biasa dari sudut tenaga kerja, kreativiti serta potensi kepimpinan masa depan.
“Karnival ini adalah sejajar dengan inisiatif Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED), yang dikenali sebagai Karnival Belia Satok XTIVE 2025.
“Matlamat utamanya adalah untuk melahirkan rakyat Sarawak yang aktif, sihat, inklusif, dan bertanggungjawab sosial sesuai dengan aspirasi negeri untuk membina masyarakat yang holistik dan berdaya tahan menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Belia Satok XTIVE 2025 yang berlangsung di Kompleks Sukan Satok, semalam.
Karnival tersebut merupakan anjuran Kelab Belia Prihatin Bandar Kuching (KBPBK) dengan sokongan MYSED, selari dengan aspirasi Sarawak Xtive, program pembangunan belia yang menekankan penglibatan menyeluruh dari segi fizikal, sosial, dan ekonomi.
Beliau turut memuji pendekatan holistik karnival tersebut yang meletakkan keseimbangan pelbagai aspek pembangunan belia melalui aktiviti seperti sembang santai bersama pemimpin Sarawak, Pertandingan E-Sukan Mobile Legends (MLBB), Belia Satok Got Talent dan banyak lagi.
Tambah beliau, kerajaan negeri terus komited menyediakan platform pembangunan belia melalui pelbagai inisiatif termasuk Sarawak Youth Creative Industry Fund (SYCIF), SYStartUp, serta pelbagai usaha dalam bidang digital dan e-sukan.
“Kesemua inisiatif ini adalah sebahagian daripada Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi penekanan kepada modal insan, inovasi dan penyertaan inklusif belia dalam pembangunan negeri,” Katanya.
Sarawak yakin mampu melahirkan generasi masa depan yang bukan sahaja dinamik dan inovatif, tetapi juga bertanggungjawab dalam menjayakan agenda pembangunan negeri menjelang 2030 dengan sokongan berterusan kerajaan dan penyertaan aktif belia.
-UKAS