SARIKEI: Orang ramai berpeluang menukar minyak masak terpakai kepada wang tunai pada kadar RM3 sekilogram sempena Karnival Agrikomoditi MADANI Sarikei yang akan berlangsung di Dewan Sentral Sarikei, Jumaat ini.
Karnival anjuran Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) itu berlangsung pada 14 Ogos 2026, dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang, dengan pelbagai pengisian berkaitan sektor agrikomoditi serta aktiviti untuk masyarakat.
Majlis tersebut akan dirasmikan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, manakala Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, turut terlibat dalam program berkenaan.
Antara aktiviti yang disediakan ialah pameran produk agrikomoditi, sukan rakyat, program kitar semula minyak masak terpakai, demonstrasi pembuatan coklat dan cabutan bertuah.
Salah satu tarikan utama ialah Program Kitar Semula Minyak Masak Terpakai yang dilaksanakan dengan kerjasama PETRONAS di perkarangan Dewan Sentral Sarikei dari 9.00 pagi hingga 3.00 petang.

Menerusi program itu, orang ramai boleh membawa minyak masak terpakai untuk dijual pada harga RM3 sekilogram, sekali gus memberikan nilai ekonomi kepada bahan buangan yang boleh dikitar semula.
Orang ramai hanya perlu mengumpulkan minyak masak terpakai dan membawanya ke lokasi program untuk ditimbang sebelum menerima bayaran tunai.
Sebagai galakan kepada masyarakat, 40 pelanggan terawal turut akan menerima tong secara percuma.
Inisiatif itu bukan sahaja memberi pulangan kepada masyarakat, malah menggalakkan pengurusan minyak masak terpakai secara bertanggungjawab bagi membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar dan menyokong pembangunan industri biobahan api negara.
Bagi tujuan rekod program, individu yang menyerahkan minyak masak terpakai perlu menyediakankan maklumat diri dan dokumen pengenalan seperti kad pengenalan, lesen memandu atau pasport.
Penganjuran Karnival Agrikomoditi MADANI Sarikei turut menjadi platform untuk mendekatkan masyarakat dengan sektor agrikomoditi menerusi pameran, demonstrasi dan aktiviti interaktif, di samping meningkatkan kesedaran mengenai amalan kelestarian.
Orang ramai, khususnya penduduk Sarikei dan kawasan sekitarnya, dialu-alukan menghadiri karnival tersebut secara percuma.
Oleh Earl Anek




