Karaoke lagu Iban satukan masyarakat pelbagai kaum di Pesta Meradong

Facebook
WhatsApp
Juara kategori wanita, Francella Imelda menerima hadiah daripada Datuk Abdullah Saidol pada Pertandingan Karaoke Lagu Iban sempena Pesta Meradong 2026. Foto UKAS

MERADONG: Pertandingan Karaoke Lagu Iban sempena Pesta Meradong 2026 menyerlahkan keunikan dan semangat perpaduan masyarakat Sarawak apabila hampir separuh daripada 20 peserta yang mengambil bahagian terdiri daripada masyarakat Melayu.

Pertandingan anjuran Kelab Tuai-Tuai Rumah Loba Bunut, N.42 Semop itu berlangsung di Pentas Utama Tapak Pesta Meradong, malam tadi, dengan kehadiran kira-kira 500 pengunjung.

Daripada keseluruhan peserta, 11 menyertai kategori lelaki, terdiri daripada tujuh peserta masyarakat Iban dan empat peserta masyarakat Melayu.

Kategori wanita pula menyaksikan sembilan peserta mengambil bahagian, masing-masing lima peserta Iban dan empat peserta Melayu.

Situasi berkenaan membuktikan seni dan muzik mampu menjadi medium berkesan dalam mengeratkan hubungan serta memupuk persefahaman antara masyarakat pelbagai kaum tanpa mengira latar belakang dan usia.

RAKAM KENANGAN… Datuk Abdullah Saidol bergambar kenangan bersama pemenang Pertandingan Karaoke Lagu Iban sempena Pesta Meradong 2026
Foto Ukas

Dalam kategori lelaki, Lajoel Linggi muncul juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM500 berserta piala dan cenderamata.

Tempat kedua dimenangi Muhd Farhan yang menerima RM350, piala dan cenderamata, manakala Echilis Ansie menduduki tempat ketiga dengan membawa pulang RM200, piala dan cenderamata.

Bagi kategori wanita pula, Francella Imelda dinobatkan sebagai juara, diikuti Naney Bujang di tempat kedua dan Norwilma Azira di tempat ketiga.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata, beliau kagum dan bangga melihat penyertaan masyarakat bukan Iban, khususnya golongan muda, yang menunjukkan minat terhadap lagu-lagu Iban.

Katanya, perkembangan itu membuktikan lagu Iban semakin mendapat perhatian dan mampu menarik minat masyarakat bukan Dayak, khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Ini membuktikan bahawa lagu-lagu Iban semakin menarik perhatian dan mampu menarik minat masyarakat bukan Dayak, terutama sekali dalam kalangan warga muda,” katanya.

Jelas Abdullah, perkembangan berkenaan turut menjadi petanda positif kepada industri muzik Dayak Sarawak yang semakin mampu menghasilkan melodi dan susunan muzik yang memenuhi cita rasa masyarakat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kehadiran penonton daripada pelbagai kaum, termasuk masyarakat Cina, yang hadir menyaksikan persembahan nyanyian menggunakan lagu-lagu Iban.

Katanya, aktiviti seni pentas seperti pertandingan karaoke bukan sahaja menjadi platform mengetengahkan bakat tempatan, malah secara tidak langsung dapat mengukuhkan semangat perpaduan dan kekitaan dalam kalangan masyarakat majmuk di Sarawak.

Dalam pada itu, beliau berkata aktiviti pelbagai sukan turut mampu menjadi medium penting dalam memupuk semangat perpaduan dan membina keakraban, khususnya dalam kalangan generasi muda daripada pelbagai kaum.

“Selain aktiviti persembahan pentas, acara pelbagai sukan juga mampu menjadi medium memupuk semangat perpaduan dan membina keakraban, terutama dalam kalangan generasi muda daripada pelbagai kaum,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kelab Tuai-Tuai Rumah Loba Bunut, N.42 Semop dan Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ) atas penganjuran pertandingan berkenaan serta Pesta Meradong 2026.

Abdullah turut memberi komitmen untuk terus menyokong dan menyalurkan bantuan dana bagi penganjuran acara seumpama itu pada masa akan datang.

Turut hadir, Pegawai Daerah Meradong merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Meradong 2026, Wee Teck Min; Setiausaha MDMJ, Lau Chi Sing; Penghulu Abas serta Tuai-Tuai Rumah Panjang dari sekitar Bintangor.

Penganjuran Pertandingan Karaoke Lagu Iban sempena Pesta Meradong 2026 jelas memperlihatkan bagaimana seni, budaya dan aktiviti kemasyarakatan dapat menjadi jambatan yang menyatukan masyarakat pelbagai kaum, selain memberi ruang kepada generasi muda menghargai serta mengembangkan seni dan budaya tempatan.

Ia sekali gus mencerminkan keunikan Sarawak sebagai sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian budaya, bahasa dan tradisi, namun terus bersatu dalam semangat kekitaan dan keharmonian.

Oleh Afiq Sallehi