Oleh: Siti Hajar Ahmad
SETIAP langkah perjalanan, tak selalunya indah. Ada pasang surutnya sebuah kehidupan. Pahit manis, tawa dan air mata. Lalu, dalam titik terendah dalam hidup, terasa seperti kita ingin kembali, menoleh dan melihat dari mana kita bermula dahulu untuk meraih semula kekuatan dan semangat yang mula rapuh. Untuk kita menyapa semula tujuan sebenar sebuah perjalanan yang panjang ini.
Aku, terasa seperti bukan diriku yang dahulu ketika masalah mula membungkus diri. Seperti mencengkam segenap urat dan sendi supaya aku lemah dan berputus asa dengan kehidupan ini. Maka, dari itulah aku ingin kembali. Mencari dari mana kakiku melangkah mengejar rentak mimpi yang belum pasti.
Ia bermula di sini. Ya. Di sini! Di mana aku mula menganyam mimpi-mimpi kecil menjadi tikar impian yang ajaib untuk membawa aku ke destinasi yang aku inginkan. Di sini…
“Jumpa dekat jambatan!” laung Zana di belakang rumah. Kami baru sahaja pulang dari kelas fardhu ain.
Dengan tergopoh gapah aku menanggalkan tudung yang melilit kepala. Menanggalkan tapih baju kurung dan ditukarkan dengan track suit oren. Bersedia untuk keluar menemui rakan-rakan yang lain.
“Makan dulu, Jaja!” laung mak dari dapur.
Aku menghentikan langkah. Berlari anak menuju ke dapur dan duduk bersila di atas tikar mengkuang. Makanan sudah tersedia. Ikan empirang bakar, bubuk cicah limau dengan cili padi, telur goreng dan sambal umbut. Menyelerakan sekali. Aku paling sukakan sambal umbut mak. Tidak pedas dan cukup rasa. Belacan yang mak bakar untuk membuat sambal umbut begitu menyelerakan rengkung. Dan, tidak membuang masa aku dengan tergopoh-gapah menyenduk nasi ke dalam pinggan. Mak yang menatang mangkuk berisi sayur midin dari dapur membesarkan mata melihat ulahku.
“Jangan tergopoh sangat. Panas nasi tu,” tegur mak.
Aku hanya tersengih. Membaca doa dengan pantas lalu menyuap nasi panas ke mulut. Aku menikmati hidangan tengah hari itu hanya bertiga dengan mak dan adik aku, Neyna. Adik-beradik yang lain banyak yang sudah besar dan pergi ke negeri lain mengejar periuk nasi masing-masing. Yang tinggal di rumah hanya aku dan Neyna bersama mak dan Pak Wo, atukku. Bapa juga pergi merantau mencari rezeki di luar dari kampung kami.
Usai makan tengah hari, aku curi-curi ambil telur ayam 3 biji di dapur. Hari ini, kami sekawan ada projek besar. Lalu, aku gulungkan dalam kain perca dan dimasukkan ke dalam plastik hitam.
“Bawa Neyna sekali, Ja. Mak nak ke kebun!” laung mak.
Aku cemberut. Neyna yang sedari tadi sudah menunggu di hadapan pintu, tersenyum lebar. Dia sudah siap menyarung selipar jepun biru walaupun terbalik. Aku akur. Neyna memang menjadi tanggungjawab aku apabila mak dan Pak Wo sibuk di kebun.
“Balik sebelum maghrib, ya.” pesan mak.
Aku dan Neyna serentak mengiakan. Setelah itu, kami berdua berlari menuju ke sungai di belakang rumah. Sungai Rimbas, di kawasan Kampung Lalang, Debak. Terdapat sebuah jambatan gantung. Yang menghubungkan Kampung Lalang dengan tanah kebun orang-orang kampung di seberang. Jambatan itu juga merupakan laluan orang Iban dari Rumah Panjang Lubok untuk ke sekolah dan ke Pekan kecil Debak.
Bujang, Janai, Zana dan Miah sudah menunggu di bawah jambatan. Ada tanah lapang di pangkalan. Ada pohon rambutan dan durian yang merendang menyebabkan kawasan situ menjadi redup dan berangin. Janai dan Bujang kelihatan sibuk mengutip ranting kayu. Jana pula sibuk mendirikan tiang pondok dengan ranting kecil yang kukuh dan diatapkan dengan daun-daun pisang. Sementelah, Miah meniup api untuk di buat acara memasak. Berbelang hitam hidungnya dek kerana arang kayu.
“Lambatnya kau sampai. Dah nak siap rumah aku. Hari ini, kita buat rumah asing-asing ya,” kata Zana.
Aku mengangguk. Menggamit tangan Neyna untuk mengambil daun-daun koko dan daun pisang di tepi sungai untuk dijadikan rumah. Kemudian kami mulai ralit menyiapkan pondok atas tanah sambil kedengaran lagu Rindu Serindu Rindunya daripada kumpulan Spoon sedang berkumandang dari sebuah rumah tidak jauh dari tempat kami bermain.
Tidak lama masa untuk membinanya, kami terus memasak pucuk midin rebus campur garam dan aji dalam tin milo yang telah dibersihkan. Telur ayam pun kami rebus. Beras ditanak dalam tin milo yang berlainan. Ikan gonjeng masin, kami letak atas para api. Usai sahaja, kami, terus menikmati makanan kami dengan berpinggankan daun pisang. Walaupun nasi yang ditanak keras sedikit, kami sangat menikmatinya dengan berselera sehingga tiada yang tersisa.
“Air sungai dah pasang, nanti kita kutip buah tajo yang hanyut. Boleh buat goreng,” saran Bujang sambil menyeka peluh.
Kami semua mengangguk setuju. Kami berjalan menuju ke tempat pembuangan sampah yang terletak di bawah jambatan. Untuk mencari keperluan alatan mengutip buah tajo. Namun, nasib aku kurang baik. Kaki aku terpijak paku karat. Aku meraung kuat dengan air mata mula mengalir deras di pipi apabila paku itu melekat pada isi. Sudah pasti, saat genting begini ada ‘jururawat’ di kalangan kami. Janai berlari laju naik ke daratan untuk mencari daun sirih dan kembali membawa tiga helai daun sirih muda. Setelah paku berjaya dicabut, Miah mengunyah sedikit, sehelai daun sirih ke dalam mulut kemudian dikeluarkan semula untuk menutup luka terkena paku yang mulai berdarah. Kemudian, luka yang telah ditampal dengan daun sirih, dibalut dengan kain perca lusuh. Ya. Beginilah cara kami bertahan apabila kami terluka atau cedera ketika bermain. Risau pulang ke rumah nanti, emak membebel. Silap hari bulan, bertambah lagi parut di kaki.
“Jangan main bawah jambatan. Bahaya. Banyak paku, kaca, binatang berbisa dekat situ. Jangan main dekat sungai. Kamu tu tak pandai berenang,” pesan mak terngiang-ngiang.
Aku menyeka air mata yang berbaki. Cuba bertahan untuk kuat. Lagipun, penyakit ini aku sendiri yang mencarinya. Kenapa aku harus menangis apabila terluka? Sedangkan aku sendiri yang degil dan enggan mendengar larangan mak? Maka, aku harus kentalkan hati. Kami suka bermain dekat sini. Inilah medan lapangan kami untuk memuntahkan segala imaginasi yang berkembang dalam kepala. Kami menjadi Power Rangers. Kami juga menjadi Sailor Moon. Terkadang, kami menjadi adiwira yang melindungi kampung kesayangan kami daripada serangan makhluk jahat. Kami mempunyai pelbagai kuasa ajaib untuk menjadi kuat. Ruang lingkup dalam dunia kami dipenuhi dengan kegembiraan dan warna-warni kehidupan yang sangat indah, gurau dan senda.
“Semalam, aku tengok dalam cerita orang putih, mereka sekawan buat surat untuk masa hadapan,” kata Bujang setelah kami hilang idea untuk bermain apa lagi. Hendak ke sungai, air tengah pasang. Hendak mengutip buah tajo, aku pula sudah cedera. Lalu, Bujang menyerahkan sekeping kertas dengan kami.
“Jom, kita buat. Kita tulis impian kita dan hanyutkan dalam botol dekat sungai. Mana tahu, di masa hadapan kita jumpa balik botol ni macam cerita dalam televisyen tu,” tambah Bujang lagi.
“Tak logiklah! Mesti surat kita ni dah hanyut jauh sampai laut. Tak pun orang ambil. Kena makan buaya atau tenggelam” sampuk Janai. Berkerut dahinya memikirkan kemungkinan itu.
“Alah, buat sajalah. Macam cikgu dekat sekolah selalu buat. ‘Sila tulis impian kamu dewasa nanti.’ Haaa…” kataku.
Baru semalam, dalam subjek Bahasa Melayu, Cikgu Ayu meminta kami untuk menulis karangan pendek tenang cita-cita ketika dewasa nanti. Karangan itu banyak berkisar tentang pekerjaan yang kami impikan. Kata Cikgu Ayu, memiliki impian hidup sangat penting kerana ianya memberikan arah dan ujuan dalam hidup kita. Panjang penjelasan Cikgu Ayu mengenai pentingnya memiliki impian hidup. Namun, yang masih terngiang-ngiang dalam kepala aku adalah ketika Cikgu Ayu menyatakan bahawa impian hidup tidak semestinya besar, tetapi mempunyai impian membolehkan kita berkembang, tumbuh, berusaha dan merasakan hidup ini berharga. Justeru itu, rasanya tidaklah matlamat penulisan kami petang ini terlalu jauh dengan apa yang Bujang katakan sebentar tadi. Ia adalah kapsul impian untuk masa hadapan!
Mereka semua mengangguk. Kemudian, mulai ralit merenung kertas kosong di tangan masing-masing. Kami duduk bersandar pada pagar besi di jambatan gantung. Mula menulis surat untuk ‘kami’ di masa hadapan.
Ketika itu, fikiran aku kosong. Aku tak tahu dah besar nanti aku akan menjadi siapa? Tercapaikah cita-cita nak jadi seorang guru? Bagaimanakah keadaan aku ketika dewasa nanti? Berkeluargakah? Atau, masih hidupkah? Aku menoleh ke arah Jana. Dia tersenyum sambil menulis impiannya. Miah pula nampak serius. Terkadang dia menggaru kepalanya nampak keliru. Namun, panjang juga karangan yang ditulisnya. Bujang siap dengan lukisan. Seperti hendak menjadi seorang superhero yang ingin menjaga keamanan sejagat. Janai pula, tersengih-sengih seperti orang tengah mengarang surat cinta. Lalu, aku mendongak ke langit. Cuaca petang itu kelihatan cerah. Langit biru dengan awan beropol-ropol seperti kapas. Angin sepoi-sepoi bahasa mengelus lembut pipi, memberi rasa nyaman. Mengerbangkan ekor rambutku yang bertocang dua. Aku tersenyum lebar. Menarik nafas dalam dan menghembusnya laju. Tangan mulai mencoret sesuatu.
“Kepada Jaja daripada Jaja. Semoga Jaja…”
Dan pada rangkap akhir, aku coretkan… “Jumpa lagi, Jaja. Dekat sini.”
Nukilan itu terasa seperti sebuah perasaan aneh dalam bentuk satu kelegaan dalam jiwa. Seolah, aku sedang mengembara satu dimensi masa untuk melihat siapa aku pada masa hadapan. Segala rasa yang terbuku dan imaginasi aneh yang bergentayangan dalam kepala dan mata hati, aku luah dan nukilkan dalam kertas itu. Saat mata pensilku menitikkan noktah seperti aku kembali menemui jalan pulang untuk masa dan waktu di mana aku berada sekarang. Aku puas menulis dan mencurahkannya di sini.
Aku gulung helaian kertas lalu dimasukkan ke dalam botol air cola. Usai semua, kami melemparkan kapsul impian kami ke dalam sungai dengan lambaian kegembiraan. Seolah-olah, ya… kami akan berjumpa lagi!
“Jumpa lagi, Jaja!”
Suara itu kedengaran sayup melalui corong telinga. Bergema. Aku, masih berdiri di sini. Seolah menyaksikan Jaja dan rakan-rakan yang berumur 9 tahun sedang melemparkan kapsul masa ke Sungai Rimbas. Sambil menyaksikan kapsul itu hanyut dibawa arus sungai. Tanpa aku sedari, mengalir air jernih di kelopak mataku yang telah lama sarat, menerima realiti yang masih terbungkus nostalgia.
Aku tersenyum kecil. Memegang besi-besi pagar jambatan gantung yang telah banyak berkarat. Papan lantainya yang rompang sana sini. Tanah sungai kian susur. Air keruh berwarna coklat pekat. Sekelilingnya ditumbuhi semak samun dan sampah sarap. Orang Iban di Rumah Panjang Lubuk tidak lagi menggunakan laluan ini sebagai jalan utama. Sekarang mereka sudah ada jalan darat yang lebih dekat dengan Pekan Kecil Debak. Ini menjadikan jambatan gantung seperti jambatan yang terbiar. Segelintir orang kampung hendak ke kebun juga tidak menggunakan jalan jambatan gantung. Sudah ada jalan alternatif yang dibina untuk ke kebun.
Aku menghela nafas berat. Jauh benar perubahan tempat ini. Namun, ada satu yang tidak berubah. Tempat ini dan kenangan yang terakam di sekitarnya. Seolah-olah baru semalam aku menjadi anak kecil yang tidak dibebani masalah dan beban perasaan yang berat. Kalaulah Jaja yang berumur 35 tahun ini berjumpa semula dengan Jaja yang berumur 9 tahun, aku ingin sekali mendakapnya erat. Aku ingin memberitahu bahawa, aku hidup dengan baik.
Aku cuba untuk membina kehidupan yang bahagia. Jaja dah berusaha dengan baik hingga ke hari ini untuk mengecapi kehidupan yang sejahtera. Walaupun, surat untuk Jaja yang dimasukkan dalam kapsul impian dan dihanyutkan oleh arus masa untuk Jaja masa hadapan tidak sampai kepadaku. Namun, aku tahu itulah impiannya. Untuk melihat aku bahagia dan berjaya. Bahagia yang sebenarnya.
Sungguh, aku lupa. Lupa tentang apa yang aku nukilkan dulu. Namun, aku harus menerima realiti yang pahit. Ditelan untuk terus tumbuh menjadi dewasa dan matang. Hakikat kehidupan yang aku jalani sekarang terasa rumit, serabut dan menekan jiwa. Aku berjuang untuk bahagia. Namun, begitulah. Aku lemah! Merengek ketika ditimpa ujian. Sedang aku tahu, tiada masalah tanpa jalan penyelesaian. Dan, inilah tujuannya aku ke mari. Mencari punca kepada sebuah kebahagiaan untuk bangkit semula!
“Aku datang, Jaja. Maafkan aku kerana kembali ke sini dengan air mata. Maafkan aku sekiranya aku lupa pada impian kita yang lalu. Namun, aku tidak pernah lupa pada sosok kecilmu yang teguh dan tekad meneruskan kehidupan walau apa juga ujian yang Allah berikan sehingga membentuk Jaja yang sekarang ini. Terima kasih, untuk masa lalu yang banyak mengajar. Kita akan teruskan langkah ini bersama-sama. Kuat dan kekal tabah seperti sebelumnya. Bersama.” Aku mengumam sedirian.
Sepertimana aku kental menahan kesakitan akibat terluka ditusuk paku karat, dicakar duri-duri tajam dan pernah hampir lemas di sungai ini dahulu, maka seperti itu juga aku seharusnya kuat dan kental menerima ujian hidup yang melukakan hati ini. Bukankah ia mematangkan jiwa dan menguatkan hati? Kerana di setiap kesulitan pasti tersembunyi hikmah yang mendewasakan.
Aku mendongak ke langit. Cuaca mendung. Langit putih dengan awan berserakan kelabu. Aku tersenyum nipis. Ya. Sedangkan langit juga berubah, inikan pula manusia. Ketawa dan air mata, bahagia dan derita juga serupa cuaca. Sebagai manusia dan seorang mukmin harus beriman kepada qada’ dan qadar Allah. Kerana, dunia ini hanyalah lapangan pentas yang penuh sandiwara— tidak abadi. Itulah ujian dan rahmat Allah yang harus kita syukuri.