Kapit tuan rumah Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2026

Facebook
WhatsApp
SAMBUTAN Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2026 bakal berlangsung di Kapit pada 30 hingga 31 Ogos ini dengan tiga acara utama bagi menyemarakkan semangat patriotisme, perpaduan dan kebersamaan rakyat.

KAPIT: Bahagian Kapit dipilih sebagai tuan rumah Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2026 yang akan berlangsung pada 30 hingga 31 Ogos ini dengan pelbagai pengisian bagi menyemarakkan semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan serta memupuk rasa cinta akan negara dalam kalangan rakyat.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah yang juga menteri bertanggungjawab bagi Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2026, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, sambutan itu dijangka diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi serta Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, sambutan berkenaan bukan sekadar meraikan Hari Kebangsaan, malah menjadi platform untuk memperkukuh semangat muafakat, menyemarakkan semangat kebangsaan serta menghargai jasa dan pengorbanan tokoh-tokoh terdahulu kepada negara.

Menurut beliau, bagi memastikan kelancaran penganjuran, beliau akan dibantu oleh lima timbalan menteri, iaitu Datuk Liwan Lagang, Datuk Rosey Yunus, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Datuk Majang Renggi dan Datuk Jefferson Jamit Unyat.

Katanya, tiga acara utama akan menjadi pengisian sambutan tahun ini, bermula dengan Ambang Hari Kebangsaan pada 30 Ogos, pukul 8.00 malam di Kapit Town Square yang akan disempurnakan oleh beliau selaku menteri bertanggungjawab.

Pada 31 Ogos, acara Unity Walk akan diadakan pada 7.00 pagi di Kapit Town Square dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan Toh Puan sebelum diteruskan dengan Perhimpunan Hari Kebangsaan pada 11.00 pagi di pekarangan Dewan Suarah Kapit.

Stephen Rundi berkata, Yang di-Pertua Negeri dijadualkan berangkat menghadiri kedua-dua acara pada 31 Ogos, manakala Premier Sarawak dijadualkan menghadiri Perhimpunan Hari Kebangsaan.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh rakyat, khususnya penduduk Bahagian Kapit dan kawasan sekitarnya, hadir memeriahkan sambutan berkenaan sebagai manifestasi semangat perpaduan, jati diri dan cintakan negara.

Bagi mereka yang tidak berkesempatan hadir secara fizikal, orang ramai boleh mengikuti siaran langsung sambutan menerusi TVS serta platform media sosial rasmi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Menurut beliau, siaran tersebut membolehkan masyarakat di seluruh Sarawak menghayati sambutan Hari Kebangsaan dan semangat patriotisme walau di mana mereka berada.