SIBU: Pembukaan jalan di sepanjang Jalan Ngemah-Temalat sepanjang masa kini telah menjadikan perjalanan dari Sibu/Kanowit ke Kapit lebih lancar.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah membuat pengumuman pembukaan sepenuh masa jalan tersebut menerusi Facebooknya pada 16 April lalu.
Sejak pembukaan itu, pengguna jalan raya kini tidak lagi perlu beratur panjang di hadapan sekatan bagi menunggu laluan tersebut dibuka ketika hendak pergi atau pulang dari Sibu.
Jalan Ngemah-Temalat sepanjang 9.6 kilometer merupakan laluan paling penting yang menghubungkan bahagian Sibu/Kanowit dan Kapit.
Sebelum ini, laluan tersebut dibuka secara berjadual dari jam 6.30 pagi hingga jam 8.00 pagi, jam 12.00 tengah hari hingga jam 1.30 tengah hari dan jam 6.00 petang hingga jam 9.00 malam setiap hari bermula 8 Oktober tahun lalu.
JKR Sarawak memberitahu, pembukaan jalan secara berjadual dibuat bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan di tiga lokasi jalan yang sedang dalam fasa terakhir.
Keputusan membuka jalan secara berjadual dilaksanakan selepas ekspedisi motosikal berkuasa tinggi dari Sibu ke Kapit yang diketuai oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 4 Oktober tahun lalu.
JKR Sarawak turut menasihatkan pengguna jalan raya untuk mematuhi arahan lalu lintas dan berhati-hati ketika memandu di jalan raya.
Oleh AKUN GIMAN