Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Kapit menuju bandar moden melalui pembangunan berimpak tinggi – Premier Sarawak
  • TEMPATAN

Kapit menuju bandar moden melalui pembangunan berimpak tinggi – Premier Sarawak

Utusan Sarawak 5 hours ago
BERSAMA RAKYAT… Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melihat lakaran pelan hotel baharu sebelum menghadiri Majlis Merarau Bersama Komuniti di Dewan Suarah Kapit, hari ini.

KAPIT: Kapit bakal berubah wajah menjadi bandar moden baharu di Sarawak hasil pelaksanaan pelbagai projek pembangunan berimpak tinggi yang kini giat dijalankan di kawasan ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan Sarawak telah merangka strategi pembangunan Kapit secara menyeluruh yang merangkumi penyediaan kemudahan asas seperti bekalan air bersih, elektrik dan sistem rawatan air.

“Kerajaan Sarawak telah bersetuju memperuntukkan sebanyak RM1.96 bilion bagi projek bekalan air di Kapit, selain menambah peruntukan untuk kemudahan elektrik serta sistem rawatan air,” katanya ketika berucap pada Majlis Merarau Bersama Komuniti di Dewan Suarah Kapit, hari ini.

Abang Johari memberitahu, sebahagian besar jalan raya utama di bawah Pelan Induk Pembangunan Kapit telah siap, selain beberapa projek baharu turut diluluskan termasuk jalan akses utama seperti Jalan Merirai bernilai RM120 juta dan pembinaan Jalan Tunoh sepanjang tujuh kilometer.

“Pembinaan jalan baharu ini akan membuka peluang kepada pembangunan kawasan baharu termasuk penempatan semula rumah panjang serta program pembangunan semula Tunoh,” jelasnya.

Abang Johari berkata, fokus kerajaan Sarawak ketika ini adalah menyelesaikan isu asas yang dihadapi penduduk luar bandar bagi memastikan mereka menikmati kemudahan setara dengan masyarakat bandar.

“Kita mahu penduduk di kawasan pedalaman menikmati kehidupan yang lebih selesa melalui pembinaan penempatan baharu dan rumah lebih baik, terutama bagi masyarakat di kawasan sempadan,” ujarnya.

Abang Johari menegaskan, Sarawak kini menumpukan usaha pembangunan demi kesejahteraan rakyat, bukan politik.

“Alhamdulillah, di seluruh Sarawak hari ini, kita sibuk dengan pembangunan, bukan sibuk dengan politik. Itulah keunikan Sarawak, kita fokus meningkatkan taraf hidup rakyat sama ada di bandar atau luar bandar,” katanya.

Abang Johari turut memaklumkan bahawa kerajaan Sarawak sedang giat membangunkan jaringan jalan raya lengkap yang menghubungkan kawasan luar bandar ke bandar utama, termasuk projek jalan raya dari Miri ke Marudi, Long Terawan, Long Lama, Mulu hingga ke Limbang.

“Selepas infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik siap, tumpuan akan diberikan kepada pembangunan sosioekonomi agar kemudahan tersebut memberi kesan langsung terhadap pendapatan dan kesejahteraan rakyat.

BERSAMA RAKYAT… Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melihat lakaran pelan hotel baharu sebelum menghadiri Majlis Merarau Bersama Komuniti di Dewan Suarah Kapit, hari ini.

Katanya, Sarawak kini telah diiktiraf oleh Bank Dunia sebagai negeri berpendapatan tinggi sejak 2022, tujuh tahun lebih awal daripada sasaran asal 2030.

“Namun, kita masih perlu meningkatkan pendapatan isi rumah melalui strategi mampan. Sebab itu, bermula tahun depan, kerajaan Sarawak akan menyediakan pendidikan universiti percuma kepada anak-anak Sarawak yang layak bagi melahirkan modal insan berkualiti,” jelasnya.

Menyentuh mengenai hala tuju pembangunan Kapit, Abang Johari berkata, bandar itu berpotensi besar menjadi sebuah ‘eco-friendly pedestrian’ atau bandar mesra pejalan kaki yang menekankan kelestarian alam sekitar.

“Baru-baru ini, seorang profesor dari Norway menyatakan bahawa Kapit sangat indah dan berpotensi menjadi bandar hijau pertama di Sarawak. Jika kita berjaya melaksanakannya, tidak mustahil Kapit akan tersenarai antara bandar terbaik di dunia,” katanya.

Abang Johari menambah, kejayaan seperti pengiktirafan Muzium Borneo sebagai muzium nombor satu di dunia membuktikan kemampuan Sarawak mencipta keunikan tersendiri di peringkat global.

“Saya menggesa semua pihak untuk terus memberikan idea dan pandangan bagi membangunkan Kapit secara terancang agar dunia mengenali kita,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dato Sri Alexander Nanta Linggi serta pemimpin tempatan dan warga perkhidmatan awam atas komitmen mereka menjayakan agenda pembangunan negeri.

Sementara itu, Abang Johari memberitahu bahawa beliau akan menerima anugerah ‘The Order Of The Rising Sun, Gold and Silver Star’ oleh kerajaan Jepun pada Isnin ini.

Jelasnya, beliau akan menghadap Maharaja Jepun untuk menerima anugerah tersebut.

“Insya-Allah, Isnin ini saya akan ke Jepun untuk menerima anugerah ini. Tak sangka saya selama ini diperhatikan oleh orang Jepun. Anugerah ini adalah tanda orang luar kenal Sarawak dan mengiktiraf usaha kita dalam membangunkan tenaga hijau,” katanya lagi.

Turut hadir ialah Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Digital yang juga Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi serta yang lain.

Oleh Akun Giman

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Teater Muzikal Kumang Keling angkat warisan seni Iban
Next: Kerjasama mantap antara agensi penentu kecekapan pengurusan bencana di Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.