
KAPIT: Kapit wajar diangkat sebagai pusat usaha memartabatkan adat serta budaya masyarakat Dayak, khususnya komuniti Iban di negeri ini, kata Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata, memandangkan Kapit merupakan antara tempat asal yang kaya dengan adat dan budaya Iban, usaha tersebut bukan sahaja mampu memelihara warisan berharga itu, malah berpotensi memperkasakan promosi budaya masyarakat Dayak secara lebih meluas.
“Akhirnya, ini akan secara tidak langsung melahirkan usahawan yang mampu merancakkan lagi industri berkaitan adat serta budaya,” katanya ketika berucap pada majlis Mantar Hari Gawai Dayak di Dewan Suarah Kapit, Sabtu lalu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, walaupun Kapit masih ‘kehausan’ pembangunan terutama jalan penghubung dan infrastruktur asas yang lain, namun beliau berharap penduduk sentiasa bersabar dan terus bekerjasama antara satu sama lain.
“Masyarakat harus terus mengekalkan keharmonian dan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Kapit dan Sarawak pada keseluruhannya.
“Paling penting sokongan terhadap semua pemimpin dan wakil rakyat di Kapit diteruskan, kerana hanya dengan itu kesinambungan politik pembangunan dapat berjalan dengan lancar,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan di Kapit kini semakin pesat dengan pelbagai projek penting sedang giat dilaksanakan.
Antara projek penting yang sedang dilaksanakan ialah pembinaan hotel sembilan tingkat di Kapit.
“Pembinaan hotel itu akan merancakkan lagi kegiatan sosioekonomi penduduk sekali gus menjadi tarikan kepada pelawat dan pelancong asing.
“Kerajaan juga akan membangunkan Dataran Bujang Berani dan Kapit Waterfront serta tidak lama lagi merasmikan tapak pembinaan Kolej Profesional Mara di Nanga Yong,” ujarnya.
Selain itu, katanya, bagi memenuhi permintaan dan menyelesaikan keluhan rakyat, kerajaan juga sudah mula membina jalan dari Nanga Semaram terus ke seberang Nanga Yong yang kemudiannya dibina jambatan menyeberangi Sungai Batang Rajang ke Nanga Yong.
“Jalan sebelah kiri mudik Batang Rajang itu bukan sahaja menjadi akses kepada penduduk untuk ke bandar seperti Sibu dan Kanowit, malah ia bakal memperhebat pelbagai kegiatan sosioekonomi sekali gus meningkatkan taraf hidup penduduk,” jelasnya.
Oleh Tarani Lanting