SKUAD Kapit FA meneruskan momentum kemenangan apabila menewaskan pasukan PSSI Kalimantan 2-1 dalam saingan Kumpulan B pusingan akhir Liga SSC-FAS Bawah 20 tahun di Stadium Negeri, Petra Jaya.
Dengan kemenangan itu, membolehkan Kapit FA yang dikendalikan oleh Pendi Bohari itu meraih enam mata hasil dua kemenangan.
Penyerang sensasi Kapit FA, Alan Adrian antara yang mencuri tumpuan apabila menjaringgkan kedua-dua gol pada minit ke-5 dan ke-19, manakala gol PSSI Kalimantan dijaringkan oleh Farizal pada minit ke-25.
Menurut ketua jurulatih Kapit FA, Mark Kayan untuk mengekalkan momentum kemenangan dalam dua perlawanan berturut-turut merupakan satu rekod yang baik dan konsisten bagi anak buahnya.
“Tidak dinafikan, aksi menentang PSSI Kalimantan sememangnya sengit, namun dua gol awal pada separuh masa pertama memberi kelebihan kepada Kapit FA untuk meraih tiga mata berharga.
“Sebenarnya kita boleh menambah lebih dua gol, jika pemain PSSI Kalimantan terus melakukan kesilapan pada perlawanan ini,” katanya.
Mark berkata sasaran pasukan adalah untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya dan misi itu tidak mustahil direalisasikan jika memenangi baki dua perlawanan terakhir selepas ini.
Dalam pada itu, dalam dua baki aksi selepas ini Kapit FA akan menentang Kuching FA hari ini dan PEC Kapit pagi esok di Stadium Sarawak.
Oleh ADI SAFARMAN