KUCHING: Setelah sekian lama mempertahankan rekod sifar kes Covid-19 akhirnya Bahagian Kapit mencatatkan satu kes positif semalam.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), ia sekali gus menyaksikan Kapit bertukar status daripada hijau kepada kuning.
Dengan 10 kes baharu semalam di seluruh Sarawak, JPBNS kes di Kapit merupakan kes yang ke 1,140 iaitu seorang lelaki.
JPBNS memberitahu kes 1,140 ini adalah pekerja yang masuk secara sah dan telah berada di Sarawak sejak tahun 2018 lagi.
“Kes bekerja sebagai pekerja am di sebuah syarikat pembinaan tempatan yang membuat projek jalan raya menuju ke Empangan Baleh, Kapit dan Kes 1,140 juga pernah bekerja di Tatau dan Bintulu sebelum bekerja di Kapit,” ujar JPBNS.
Beliau berkata, Kes 1,140 telah menjalani saringan Covid-19 pada 31 Disember 2020 semasa aktiviti saringan pekerja tapak pembinaan dan ujian Rt-PCR mendapat kes positif pada 02 Januari 2021.
“Kes 1,140 tersebut tidak menunjukkan sebarang tanda dan dimasukkan ke ward pengasingan di Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.
“Kes dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan dan pengesahan saringan kepada kontak-kontak lain kepada kes ini sedang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Kapit,” katanya.
Sementara itu, terdapat sebuah kluster baharu yang diisytiharkan oleh JPBNS iaitu sebuah Kluster Stutong yang melibatkan Daerah Kuching, Serian, Lundu di Sarawak.
Indeks dari kluster ini ialah kes 1,119 yang telah dikesan pada 1 Januari 2021 hasil saringan individu yang bergejala di sebuah hospital swasta Kuching.
“Jumlah kes positif melibatkan kluster ini setakat ini adalah seramai lima orang dan sejumlah 51 individu yang telah disaring iaitu 5 kes dikesan positif (2 kes baharu), manakal 24 individu negatif dan 22 individu yang masih menunggu keputusan.
“Dua kluster yang masih aktif iaitu Kluster Stutong, Kuching dan Kluster Mador, Meradong,” katanya.
Oleh AMINAH WASLI