
KAPIT: Majlis Daerah Kapit disasarkan untuk dinaik taraf menjadi Majlis Perbandaran dalam masa terdekat, selaras dengan pembangunan pesat daerah ini serta keperluan mempertingkat mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr. Penguang Manggil, berkata demikian ketika berucap pada majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Daerah Kapit bagi sesi 1 April 2025 hingga 31 Mac 2028 yang berlangsung di Hotel Meligai di sini, hari ini.
Menurut beliau, usaha ke arah pembandaran Kapit memerlukan pematuhan terhadap beberapa syarat asas, termasuk populasi minimum seramai 320,000 orang serta kewujudan institusi pendidikan dan latihan seperti sekolah vokasional.
“Ahli-ahli majlis yang dilantik hari ini memikul amanah besar dalam memastikan segala perancangan pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan. Mereka bukan sahaja bertindak sebagai pemudah cara, malah menjadi suara akar umbi kepada kerajaan,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada barisan ahli majlis baharu yang mewakili kawasan Song, Kapit, Bukit Goram dan Belaga, dengan populasi gabungan seramai 134,800 orang.
Dalam ucapannya, Penguang turut mengumumkan beberapa langkah penambahbaikan dari segi pentadbiran majlis,
Antaranya, penyusunan semula kekerapan mesyuarat, cadangan kenaikan elaun ahli majlis, pelanjutan tempoh pelantikan ahli majlis selama setahun, dan penerapan sistem Petunjuk Prestasi Utama (KPI) berasaskan penilaian tiga bintang sebagai penanda aras baharu prestasi ahli majlis.
Penguang turut menekankan kepentingan memberi tumpuan kepada pembangunan luar bandar, khususnya kawasan pedalaman, agar perkhidmatan kerajaan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh semua lapisan masyarakat.
Ahli-ahli majlis juga digesa memainkan peranan aktif sebagai penghubung antara rakyat dan pemimpin, khususnya dalam menyuarakan isu serta keperluan komuniti minoriti.
Pada majlis tersebut, penghargaan turut diberikan kepada mantan Wali Kota atas sumbangan cemerlang beliau selama enam tahun dalam menerajui majlis.
Selain itu, Penguang turut menekankan peranan strategik yang dimainkan oleh pengerusi majlis dalam memastikan kelancaran pelaksanaan projek pembangunan di kawasan tersebut.
Majlis penuh istiadat itu turut dihadiri beberapa pemimpin kanan negeri, termasuk Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang juga ADUN Balai Ringin, Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) yang juga ADUN Bukit Goram Datuk Jefferson Jamit Unyat, ADUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang serta ADUN Baleh Nicholas Kudi Jantai. – UKAS