Kapit Agrofest buka ruang pasaran, pacu transformasi sektor pertanian

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Dr Stephen Rundi Utom bersama tetamu kehormat lain menunjukkan hasil pertanian tempatan yang dipamerkan pada Kapit Agrofest 2026 di Town Square, Kapit. Foto UKAS

KAPIT: Kapit Agrofest 2026 membuka ruang lebih luas kepada pengusaha tani tempatan untuk mengetengahkan produk serta meneroka peluang pasaran, selari dengan usaha mempercepat transformasi sektor pertanian dan agromakanan di Bahagian Kapit.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, sektor pertanian terus diberi keutamaan sebagai pemacu ekonomi negeri, selain memainkan peranan penting dalam memperkukuh keterjaminan makanan.

Katanya, Sarawak menyasarkan peningkatan pengeluaran makanan tempatan bagi mencapai tahap sara diri yang lebih tinggi, di samping muncul sebagai pengeksport bersih makanan menjelang 2030.

“Kerajaan Sarawak menyasarkan untuk meningkatkan tahap sara diri dalam pengeluaran makanan serta menjadikan Sarawak sebagai pengeksport bersih makanan menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Kapit Agrofest 2026 di Town Square, Kapit, hari ini.

Menurut Rundi, usaha mentransformasikan sektor agromakanan perlu disokong menerusi penggunaan teknologi moden dan pertanian pintar, selain pembangunan kawasan pertanian berskala komersial serta sistem rantaian bekalan yang lebih kukuh.

RAKAM kenangan tetamu kehormat dan peserta selepas Majlis Perasmian Penangguhan Kapit Agrofest 2026 di Town Square, Kapit. Foto UKAS

Beliau berkata, pendekatan bersepadu itu penting bagi memastikan pengeluaran pertanian disesuaikan dengan potensi sesuatu kawasan, skala ekonomi, kemudahan infrastruktur dan keperluan pasaran.

Dalam konteks sasaran negeri, Sarawak menetapkan tahap sara diri bagi padi sebanyak 60 peratus dan daging lembu sebanyak 25 peratus, selain menyasarkan lebihan eksport agromakanan bernilai RM1 bilion menjelang 2030.

“Pembangunan sektor pertanian perlu dilaksanakan secara lebih bersepadu dengan mengambil kira kesesuaian kawasan, skala ekonomi, infrastruktur dan akses pasaran bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati komuniti tani,” ujarnya.

Sementara itu, Kapit Agrofest 2026 yang berlangsung selama tiga hari dari 14 hingga 16 Ogos lalu menghimpunkan 35 pameran dan 17 gerai jualan, selain menampilkan pelbagai pengisian berkaitan pertanian, agromakanan, kebudayaan dan keusahawanan.

Penganjuran berkenaan turut memberi pengiktirafan kepada empat usahawan tani dari Bahagian Kapit dalam kategori Tanaman, Perikanan Darat, Industri Asas Tani dan Penternakan.

Turut hadir Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, serta Timbalan Menteri Digital merangkap Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong.