SARATOK: Loji perawatan Kaki Wong akan ditingkatkan kapasitinya kepada 60 juta liter air sehari (MLD) untuk menambah dan menstabilkan bekalan air terawat ke Daerah Saratok dan kawasan sekitar.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata pada masa ini, loji berkenaan menghasilkan air terawat dan bersih sebanyak 30 MLD dengan operasi 24 jam dan sumber air mentah adalah dari Sungai Krian.
“Sehingga kini kita mempunyai 12,583 sambungan meter oleh pengguna di Daerah Saratok serta juga dari Debak dan Pusa.
“Bendung @weird yang kini dibina di Sungai Krian hampir siap sepenuhnya untuk memboleh, menambah dan meningkatkan kapasiti pengambilan air mentah dari sungai tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa melakukan lawatan kerja ke Loji Rawatan Air Kaki Wong, Saratok, hari ini.
Julaihi berkata loji ini akan menjadi loji utama selain loji rawatan air di Lubau dan beberapa loji kecil di Maludam, Pusa, Spaoh dan Lichok di Bahagian Betong.
“Semuanya adalah sebahagian dari pelan induk bekalan air Sarawak yang sedang kita laksanakan sekarang berdasarkan kelulusan oleh kerajaan Sarawak menggunakan bajet Sarawak sendiri.
“Peruntukan juga telah dilulus untuk mengganti paip uzur dan menaik taraf saiz paip di seluruh Bahagian Betong.
“Dalam jangka panjang, semua loji dan jajaran paip di Bahagian Betong akan membentuk sebahagian dari sistem grid air Sarawak yang sedang dilaksanakan sekarang menggunakan peruntukan kerajaan Sarawak sendiri,” katanya.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Che Kadir; ADUN Krian Friday Belik; ADUN Kalaka, Mohamad Duri; Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Awang Fadillah Awang Reduan; Jurutera JBALB Bahagian Betong Tay Chiaw Teck dan Dato Al Hadi Ibrahim daripada Konsultan Konsortium Malaysia.
Oleh ADI SAFARMAN