MANILA: Sebuah kapal pengawal pantai Filipina yang sudah berbulan berlabuh di sebuah kawasan terumbu yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan dilaporkan sudah meninggalkan kawasan itu.
Kapal BRP Teresa Magbanua berlabuh di dalam kawasan Sabina Shoal sejak April lalu sebagai penegasan kepada tuntutan Manila ke atas kawasan itu dan menghalang negara China daripada merampasnya.
Beijing terus mendesak tuntutannya terhadap hampir keseluruhan Laut China Selatan walaupun tribunal antarabangsa memutuskan bahawa dakwaan negara itu tidak mempunyai asas undang-undang.
Kapal Filipina dan China sudah berlanggar sekurang-kurangnya tiga kali baru-baru ini berhampiran Sabina Shoal, yang terletak 140 kilometer (km) dari Pulai Palawan di barat Filipina dan 1,200km dari daratan utama terdekat di China, iaitu Pulau Hainan.
Dalam salah satu pelanggaran itu, bahagian sayap jambatan dan dek atas Teresa Magbanua mengalami kerosakan.
Setiausaha Eksekutif Pengerusi Majlis Maritim, Lucas Bersamin dalam satu kenyataan hari ini, berkata kapal berkenaan ketika itu mencabar pengepungan oleh kumpulan penceroboh yang lebih besar.
“Kejadian itu berlaku dalam cuaca buruk, yang mana anak kapalnya bertahan dengan bekalan harian yang berkurangan,” katanya.
Awal minggu ini pegawai Filipina dan China mengadakan perbincangan peringkat tinggi mengenai isu maritim di mana Beijing mengulangi tuntutannya supaya kapal Filipina berundur dari kawasan itu.
Situasi terkini mengulangi kejadian pada 2012, apabila Beijing menguasai Scarborough Shoal – satu lagi kawasan strategik kira-kira 240km ke barat pulau utama Luzon di Filipina.
Kemudian, Manila mengundurkan kapalnya selepas kebuntuan maritim dalam tempoh dua bulan yang tegang. – AFP
Gambar
Foto dibekalkan Pengawal Pantai Filipina menunjukkan kapal BRP Teresa Magbanua tiba di pelabuhan di Puerto Princesa, Palawan selepas meninggalkan Sabina Shoal, terumbu yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan. – AFP