

MANILA: Sebuah kapal kargo yang berdaftar di Singapura dengan membawa kru warga Filipina terbalik berhampiran Beting Scarborough (Bajo de Masinloc), lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Dalam satu laporan pada Jumaat, Kedutaan China di Manila menyatakan bahawa pusat mencari dan menyelamat maritim di Wilayah Hainan menerima laporan mengenai sebuah kapal kargo asing yang terbalik pada kedudukan 55 batu nautika di barat laut Beting Scarborough, dengan 21 anak kapal – semuanya adalah warga Filipina.
“Pengawal Pantai China segera menghantar dua kapal ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat. Setakat ini, 13 anak kapal berjaya diselamatkan dan operasi menyelamat masih diteruskan,” katanya.
Kedutaan tersebut menyatakan bahawa 13 mangsa berkenaan diselamatkan pada 1.34 pagi, Jumaat. – Bernama